Manuskrip Dr Bagindo Muchtar -DIRI YANG KUKENAL..Menemui DIRI Imam Al-Ghazali MISYKAATUL ANWAR.
Selasa, 15 Februari 2011
MISKAATUL ANWAR ---ENTRI 6
Hakikat bagi segala Hakikat.
Dari titik permulaan inilah makrifat Allah naik ke atas dari Majazi (bukan sebenarnya) kepada Hakiki. Ibarat memanjat dari tanah rendah ke gunung yang tinggi, dan di tingkat akhir kenaikkan mereka itu dapatlah mereka melihat bahawa sebenarnya tidak ada yang lebih wujud kecuali Allah sahaja dan "segalanya binasa kecuali wajahNya" (Al-Quran).
Bukanlah binasa dan hancur serta di masa-masa yang tertentu, tetapi adalah binasa dan hancur musnah sentiasa. Apa sahaja selain Allah, apabila dipandang dari segi dirinya, adalah pada hakikatnya, tidak wujud. Wujud yang ada pada sesuatu selain Allah itu adalah semata-mata pemberian Allah jua. Allah yang memberi makhluk itu wujud. Wujud makhluk itu bergantung kepada Wujud Allah. Oleh yang demikian, Wajah Allah itulah yang sebenarnya Wujud.
Tiap-tiap sesuatu itu ada dua wajah. Wajahnya dan Wajah Allah. Wajahnya itu tidak ada apa-apa, tetapi Wajah Allah itulah yang sebenarnya Wujud. Dengan itu, tidak ada Yang Wujud kecuali Allah. Segala-gala yang lain adalah binasa dan hancur lebur, melainkan Allah yang berkekalan sentiasa.
Orang-orang yang mempunyai makrifat seperti ini tidak perlu menunggu kebangkitan hari Qiyamat untuk mendengar Allah berfirman;
"Siapakah yang berkuasa hari ini? Allah sahaja Yang Esa dan tidak ada tandinganNya"(Al-Quran).
kerana firman itu sentiasa kedengaran oleh mereka yang mempunyai makrifat itu. Mereka hairan mengapa diteriakkan "Allahhu Akbar" yang menunjukkan ia lebih besar daripada segala kebesaran yang lain. Kenapa? kerena yang besar itu adalah Dia dan Dia sahaja yang mempunyai kebesaran. Lain dari Dia tidak ada besarnya bahkan yang lain itu adalah kosong, tiada ada yang bersekutu dengan Dia. Semua yang wujud ini, pada hakikatnya adalah WujudNya jua.
Tidaklah mungkin Dia itu "Lebih Besar" dari wajahNya sendiri. Allah itu Maha Agung dan Maha Besar, tidak boleh dikatakan "Lebih Besar" atau "Paling Besar" , kerena ia membawa pengertian perbandingan. Pada hal kebesaran itu tidak boleh dan tidak ada bandingannya. Kebesaran itu tidak boleh diketahui sepenuhnya oleh sesiapa pun, walaupun Nabi-nabi atau Malaikat-malaikat.
Tiada siapa yang dapat mengenal dan mengetahui Allah itu sepenuhnya (seratus peratus) kecuali Dia sendiri jua;
kerana tiap-tiap yang diketahui itu adalah termasuk dalam bidang yang mengetahui, satu keadaan yang mana adalah menafikan semua kemuliaan, semua kebesaran. Bukti penuh tentang ini ada saya beri dalam karangan saya(Imam Ghazali) yang lain.
Orang-orang yang mempunyai makrifat itu, apabila kembali dari kenaikkan mereka ke Alam Hakikat itu, sebulat suara mengakui bahawa mereka tidak melihat apa pun kecuali Allah Yang Maha Esa sahaja. Ada yang sampai ke peringkat ini dengan saintifik, ada pula percubaan dan secara subjektif. Di sini, mereka nampak Keesaan Yang Mutlak dan akan tenggelam di dalamnya.
Berbilang-bilang dan banyak tidak ada pada pandangan mereka. Mereka kagum dan terpesona memandang Keesaan itu. Tiada daya upaya mereka kecuali menyebut "Allah", bahkan menyebut diri mereka sendiri pun tidak berupaya. Tiada apa lagi beresama mereka kecuali Allah.
Mereka mabuk dalam suasana yang di dalamnya aqal mereka sendiri pun lenyap, hingga ada yang berkata
• "Akulah Yang Haq" dan juga
• "Maha Suci Aku",
• "Alangkah Agungnya Aku" dan
• "Dalam baju ini tidak ada yang lain kecuali Allah"
...............tetapi perkataan orang-orang cinta Allah ini dalam mabuknya itu mestilah disembunyikan dan jangan dihebahkan. Apabila mereka keluar dari mabuk itu, mereka pun kembali semula kepada Aqal mereka dan Aqal inilah neraca Allah di muka bumi ini.
Mereka sedar bahawa mereka bukanlah bersatu (dengan Tuhan) tetapi hanya menyerupai atau mewakili Allah sahaja. Seseorang pencinta Allah yang dalam puncak perasaan cinta berkata;
"Akulah Dia yang aku Cintai dan Dia yang aku Cintai itu ialah aku; Kami adalah dua jiwa dalam satu badan".
Kerana mungkin bagi seseorang yang tidak pernah melihat cermin seumur hidupnya akan terpesona oleh cermin itu apabila ia melihat cermin itu dan menyangka apa yang dilihatnya dalam cermin sebagai bentuk rupa cermin itu sendiri, "serupa" dengannya. Seseorang lain melihat arak dalam gelas dan menyangka arak itu sebagai warna gelas itu. Jika sangkaan itu telah menjadi sebati difikirnya, ia pun lenyap dalam sangkaan itu, lalu ia menyanyi;
"Gelas itu nipis, arak itu jernih, kedua-keduanya serupa, perkara ini rumit sekali, kerana seolah-olah ada araknya dan tidak ada gelas arak di situ, atau seolah-olah ada gelas arak dan tidak ada araknya".
Di sini ada perbezaan antara perkataan, "Arak itu ialah gelas arak", dengan perkataan, "ianya seolah-olah gelas arak".
Apabila keadaan ini wujud, ianya digelar FANA, bahkan FANA DALAM FANA, bagi orang yang mengalaminya, kerana Ruh itu telah FANA dalam dirinya, bahkan FANA DALAM FANANYA, kerana ia tidak sedar dirinya dan tidak sedar tentang tidak sedarnya.
Kalau ia sedar tentang tidak sedarnya, maka sedarlah ia tentang dirinya.
Bagi orang yang tenggelam dalam keadaan ini , maka keadaan ini digelar dalam bahasa kiasan "persamaan"; dan dalam bahasa hakikat "penyatuan". Di bawah hakikat-hakikat ini ada tersimpan rahsia-rahsia yang mana kita tidak bebas untuk membincangkannya.
Langgan:
Catatan (Atom)