Rabu, 17 Mac 2010

Dr Bagindo Muchtar - Pandang Kedalam -Manuskrip Yang Tidak Diterbitkan

PRAKATA SATU
Al-Fakir Abdillah Abdullah AlGemasi

Bismillah hir rahmanirrahim

Dengan IradatNya jua saya digerakkanNya untuk menulis semula buku karangan Dr Bagindo Muchtar ini. Secara jujur dinyatakan bahawa ianya dilakukan tanpa mendapat keizinan dari Dr Bagindo Muchtar kerana saya tidak pernah menemuinya dan tidak tahu bagaimana untuk berhubung dengannya. Saya tidak pasti sama ada penulis asal buku ini masih hidup atau telah kembali ke Rahmatullah. ( bukunya merupakan MANUSKRIP yang mengikut catatannya siap ditaip / tulis pada 27hb November 1965 – 41 tahun yang lalu ) Namun ianya dilakukan juga kerana tuntutan mencari ilmu. Saya yakin Dr Bagindo Muchtar pasti mengizinkannya.

Ianya juga merupakan permintaan saudara dan sahabat saya Sdra Anuar Yasin dari Felda Jelai 3, Gemas. Saya memanggilnya sebagai Syeikh Nuar. Ini adalah kerana salinan buku berkenaan yang ada pada saya ( dan salinan yang saya hadiahkan kepada beliau ) merupakan salinan fotokopi yang tidak jelas dan sukar untuk dibaca.

Pada tahun 1980 saya bertugas sebagai Pengarah Bekalan di Jabatan Stor Keretapi Tanah Melayu. Seorang kakitangan saya ( yang saya anggap sebagai abang kerana jauh lebih berusia daripada saya ) bernama Amar Mansor telah menghadiahkan buku karangan Dr Bagindo Muchtar ini kepada saya. ( Sdra Amar pernah menjadi JURULATIH KANAN SILAT NASRUL HAQ YANG DITERAJUI OLEH PROF DR MUCHTAR LINTANG DARI INDONESIA )

Ketika itu saya baru berumur 29 tahun dan langsung tidak berminat kepada isi kandungan buku tersebut. Namun saya sangat menyayangi buku. Saya telah menyimpan buku itu dan telah membacanya banyak kali juga tetapi tidak dapat memahaminya seperti yang sepatutnya pada ketika itu.

Pada tahun 1995 saya telah mula menulis buku karangan saya sendiri yang saya namakan sebagai Pengantar Ilmu Hakikat Yang Diwariskan. Sebagai bab penutup saya sangat berhajat untuk menulis mengenai pendapat




pendapat sama ada sesaorang itu boleh menemui Dirinya ketika ianya masih hidup didunia ini.

Ini adalah kerana kesemua guru guru saya menegaskan bahawa satu ketika nanti sesaorang salik itu akan dapat menemui Dirinya sendiri. Malangnya ketika saya bertanya kepada guru guru saya itu sama ada beliau sendiri telah menemui Dirinya, jawapan yang saya terima secara langsung dan tidak langsung tidak memuaskan hati saya. Ini pada hemat saya adalah kerana guru guru saya itu sama-ada masih belum lagi menemui Dirinya atau barangkali ianya merupakan satu SIRR atau Rahsia yang tidak boleh diberitahu kepada sesiapapun atau barangkali ianya ( perkara boleh menemui Diri itu ) merupakan cakap cakap sahaja bukan satu perkara yang benar. Yang demikian saya sendiri masih belum menemui Diri saya itu kerana saya tidak pernah diberitahu bagaimanakah cara dan amalannya.

Saya telah mencari buku Dr Bagindo Muchtar ini tetapi adalah jelas bahawa ianya sudah tiada dalam simpanan saya lagi. Tidak mungkin saya akan dapat menemuinya kembali melainkan atas Kehendak Allah jua. Saya menadah tangan berdoa kepada Allah dan meminta Allah memberikan petunjukNya untuk menunjukkan bahawa Ilmu Hakikat / Ilmu Mengenal Diri dan Tauhid Hakikat itu merupakan ilmu yang benar bukan ilmu yang sesat seperti mana dikatakan oleh ramai ulama Syariat. Saya juga memohon agar Allah memulangkan semula buku berkenaan.

Selepas tiga hari saya telah didatangi oleh seorang anak muda dari kampong saya juga. Anak muda ini telah datang kerumah saya selama tiga malam berturut – turut namun pulang kerumahnya kerana setiap kali dia datang saya ada tetamu. Jelas sekali anak muda ini ingin berbicara atau berbincang dengan saya secara bersaorangan. Anak muda ini hanya dapat menemui saya secara bersaorangan pada malam keempat. Ketika mengetahui saya tiada tetamu beliau terus memegang kaki saya sambil menangis teresak esak meminta saya mengampunkannya. Ini adalah kerana ( menurutnya ) dia telah mengambil buku saya tanpa pengetahuan dan izin saya dan setelah membacanya terus mengamalkan ajaran ajaran yang terdapat didalam buku tersebut. Anak muda ini menceritakan kepada saya pengalaman pengalaman aneh dan menakjubkan yang dinikmatinya selama lima tahun setelah mengamalkan amalan amalan yang diyorkan oleh buku





tersebut. Katanya dia telah menemui Dirinya sendiri dan menyerahkan urusan kehidupannya selama lima tahun kepada Dirinya itu.

Beliaulah orang pertama yang mengaku kepada saya bahawa Diri itu boleh ditemui jika kita tahu JALANNYA. Anak muda ini menjadi guru saya yang entah keberapa.

Menurutnya sejak lima hari yang lalu beliau berasa amat gelisah dan hatinya diruntun runtun untuk memulangkan harta yang bukan miliknya. Harta yang dirujuknya itu ialah buku Dr Bagindo Muchtar milik saya ( yang saya cari cari itu ) tetapi buku yang dikembalikannya kepada saya bukanlah buku yang asal tetapi merupakan salinan fotocopy. Yang asal telah diambil oleh sesaorang katanya.

Anak muda ini juga menyatakan bahawa MURTIARANYA telah hilang. Sudah tiga tahun katanya dia kehilangan Dirinya ….. tidak lagi dapat menemui Diri itu seperti yang dialaminya selama lima tahun. Pada sangkaannya sebabnya ialah kesilapan mengambil buku berkenaan tanpa izin pemilik dan mengamalkan ilmu tanpa mendapat ijazah.

Sebab yang sebenar saya sendiri pun tidak tahu. Ada juga kemungkinan bahawa perkara yang SIRR telah diceritakan kepada orang lain khususnya orang yang bukan ahli.

Namun begitu Keagungan Allah adalah amat jelas dan nyata. Peristiwa yang saya ceritakan tadi membolehkan anda membaca buku Dr Bagindo Muchtar ini. Mudahan mudahan anda juga akan menikmati nikmat sepertimana yang telah dinikmati oleh anak muda yang saya ceritakan diatas. Namun segala-galanya adalah KetentuanNya jua.

Saya tidak bercadang untuk menceritakan didalam Prakata ini akan pengalaman pengalaman luarbiasa oleh anak muda tersebut. Saya juga tidak dapat menyebutkan namanya kerana tidak dapat keizinannya. Yang dapat saya katakan ialah adalah satu perkara yang benar bahawa sesaorang salik itu dapat malah amat perlu menemui Dirinya. Ini telah disebutkan oleh Sultanul Aulia’ Syeikh Abdul Qadir Jailani didalam







kitabnya dan juga telah dinyatakan oleh Syeikh Hamzah Al – Fansuri didalam karangan karangannya.

NOTA

Tajuk Asal Buku Dr Bagindo Muchtar ialah MENGENAL DIRI

Penyalin mengubah tajuknya kepada MENEMUI DIRI DENGAN MEMANDANG KEDALAM kerana itulah yang dibincangkan sebenarnya oleh Dr Bagindo Muchtar. Fatihah Untuk Dr Bagindo Muchtar. Penyalin ( dan sewajarlah semua pembaca ) sangat berterimakasih kepada beliau atas isi kandungan buku ini. Isi kandungannya sangat MIRIP kepada PATRAP yang diterajui oleh bapak Slamet dan Bapak Abu Sangkan – Dzikirullah.com . Terimakasih dan Fatihah juga untuk abang penyalin Sdra Amar Mansur.

Penyalin tidak pasti sama-ada Buku MENGENAL DIRI karangan DR BAGINDO MUCHTAR ini telah pernah diterbitkan. Salinan yang ada pada penyalin merupakan Manuskrip yang ditaip. Mengikut catatan manuskrip, Dr Bagindo Muchtar mula menaipnya pada 1hb ogos 1962 dan siap pada 27hb November 1965 di Palembang, Indonesia.

Pada hemat penyalin Dr Bagindo Muchtar ialah Prof Dr Muchtar Lintang Mahaguru Silat NASRUL HAQ. Ini adalah berdasarkan pengakuan Sdra Amar Mansur bahawa manuskrip ini dihadiahkan kepadanya oleh Prof Muchtar Lintang sendiri. Ketika itu sdra Amar merupakan jurulatih kanan Nasrul Haq, di Kuala Lumpur. Amar Mansur pula menghadiahkan satu salinan kepada penyalin pada tahun 1980 sebagai Hadiah Harijadi.



***********************




PRAKATA DUA
Al-Fakir Abdillah Abdullah Al-Gemasi

Saudara pembaca,

Dikalangan pengikut Ilmu Hakikat Diri Yang Sebenarnya Diri itu merupakan perkara immaterial yang bersifat Rabbaniah atau bersifat Ketuhanan. Yang demikian ianya juga dikatakan mempunyai Sifat Sifat 20 Allah SWT. Nyata dengan jelas akan wujudnya 7 ( tujuh ) Sifat Sifat MaaniNya ( Hayat / Basar / Kalam / Kudrat / Ilmu / Sama’ & Iradat ) pada Diri itu yang seterusnya melihatkan kesan kesannya melalui anggota anggota badan manusia itu.

Yang menjadi persoalan ialah adakah Diri itu juga memiliki Sifat Sifat MAHA atau SIFAT SIFAT MAKNUYAH Allah SWT ? ( Hayyun / Basirun / Mutakallimun / Qadirun / Alimun / Samiun & Muridun )

Jika dikatakan ada kenapakah manusia itu mempunyai pelbagai kelemahan dan serba kekurangan ?, sedangkan yang dikatakan MAKNUYAH itu ialah HAYYUN / MAHA HIDUP, QADIRUN / MAHA BERKUASA, ALIMUN / MAHA TAHU, BASIRUN / MAHA MELIHAT, SAMIUN / MAHA MENDENGAR, MUTAKALLIMUN / MAHA BERKATA-KATA dan MURIDUN / MAHA BERKEHENDAK ?. Pernahkah anda menemui manusia yang memilikki Sifat Sifat sebegini ?

Jika dikatakan Diri itu hanya memilikki Sifat Sifat Maani sahaja, maka tidaklah boleh dikatakan bahawa Diri itu bersifat Ketuhanan ! Hanya IlmuNya sahaja yang dapat memberi penjelasan kepada sesaorang salik itu kerana pada hakikatnya Tiada Yang Berilmu Hanya Dia.

Saudara pembaca,

Marilah kita alihkan tumpuan dan perhatian kita buat seketika kepada perkara yang mungkin kita anggap sebagai remeh temeh ( yang jarang sekali kita fikirkan secara mendalam rahsianya ) kerana kita terlalu biasa dengannya oleh kerana kita sentiasa bersamanya, setiap detik dan ketika barangkali.



Saya ingin menarik perhatian saudara tentang dua perkara iaitu mengenai tenaga letrik yang mengalir dirumah kita, dipejabat kita di sekitar kita dan juga tentang jalan jalan atau laluan laluan yang selalu kita gunakan tanpa kita memikirkan hakikat yang kita sebenarnya menumpang jalan jalan yang bukan milik kita itu .

Mengenai tenaga letrik ianya adalah abstrak kerana sangat susah bagi kita menjelaskan apakah ianya sebenarnya melainkan bercerita mengenai kesan kesannya. Jurutera letrik mengukurnya dengan mengadakan kata kata ukuran seperti watt, voltage dan sebagainya.

Jika dikatakan ianya mati, letrik itu menghidupkan pelbagai peralatan dan membahagiakan kehidupan kita pula. Jika kita katakan ianya hanya benda yang mati ianya bergerak dan mengalir dari janakuasa kerumah kita melalui jalannya sendiri. Jalannya ialah dawai tembaga ( copper ). Jika kita gantikan dengan tali plastik umpamanya ia enggan berjalan ( mengalir ) Ianya tetap mahu kepada jalannya sendiri. Tidak mahu ia menumpang jalan yang bukan jalannya ( jalan orang / benda lain )

Jika kita katakan ianya hidup kita tidak pernah nampak akan rupanya melainkan lambang lambang yang diadakan oleh jurutera. Jadi ianya seperti sesuatu yang ada ZAT seperti air juga yang hidup dan menghidupkan.

Saudara pembaca,

Jalan tenaga letrik ini kita sebut sebagai dawai letrik. Jurutera membuatnya mengikut pelbagai ukuran ( saiz ) sesuai dengan kekuatan atau satu satu kegunaan itu. Jika dawai dawai yang merupakan jalan jalan tenaga letrik ini berbalut mengikut piawaian yang ditentukan maka tenaga atau kekuatannya telah dihadkan kepada kegunaan yang ditujukan itu. Umpamanya ia akan menyalakan lampu tanpa membakar lampu tersebut, memusingkan kipas tanpa merosakkannya atau menghidupkan peti televisyen tanpa memudaratkan kita sebagai pengguna atau peti televisyen itu sebagai alat.





Jadi bolehlah kita katakan bahawa tenaga letrik dalam dawai yang berbalut itu bukanlah kekuatan sebenar tenaga letrik itu. Ini adalah kerana jika balutan itu dibuang dan yang tinggal hanya dawai tembaga maka kekuatan sebenar tenaga letrik itu boleh membunuh manusia dan merosakkan segala peralatan.

Yang demikian balutan itulah sebenarnya yang membuatkan kekuatan yang MAHA itu terkawal sesuai dengan apa kegunaan yang diinginkan.

Mengenai jalan pula, jalan keretapi umpamanya kita sebut sebagai landasan keretapi. Jika kita naik keretapi kita disebut sebagai penumpang keretapi. Jika kita naik bas pula kita disebut sebagai penumpang bas. Ini adalah kerana landasan itu bukan milik kita tetapi milik keretapi. Kita hanya tumpang menggunakan sahaja.

Apapun, jika tidak ada jalan maka kita akan menjadi statik kerana tidak dapat kemana mana pun. Yang demikian jalan itu adalah penting malah sangat penting.

Sesuatu perkara itu mempunyai jalan jalan masing masing, atau jalan jalannya sendiri. Untuk memperolehi sesuatu kita hendaklah tahu akan jalannya. Jika kita tidak tahu jalan, maka kita tidak akan kemana malah boleh sesat pula.

Oleh kerana selama ini kita hanya menumpang jalan, jalan yang bukan milik DIRI kita maka sentiasalah kita menjadi penumpang. Maka adalah amat perlu kita membina atau menemui jalan kita sendiri.

Yang sebenarnya tidaklah perlu kita membinanya kerana jalan itu telahpun disiapkan untuk kita. Cuma kita tidak menyedari akan wujudnya. Lantaran itu ianya jalan yang tidak pernah kita gunakan kerana kita sememangnya jahil tentang kewujudannya.









Saudara pembaca,

Marilah kita kembali kepada perkara yang serius semula ( bukan perkara remeh lagi )

Saya ingin menarik perhatian saudara kepada sebuah kitab yang dikarang oleh Qutubul Aulia’ Syeikh Abdul Qadir Jailani yang berjudul SIRRUR ASRAR. Jika anda belum membacanya maka carilah buku ini dan bacalah berulang ulang kali.

Didalam kitab berkenaan Syeikh kita menjelaskan bahawa Ruh Al – Qudsi ( yang juga dirujuk sebagai Diri Yang Sebenarnya oleh ulama lain ) dan umumnya dirujuk sebagai ruh atau nyawa kita itu dinamakan oleh beliau sebagai TIFLUL MAANI iaitu sesuatu yang immaterial atau bukan benda yang terlalu rahsia yang bersifat Rabbaniah atau Ketuhanan yang membuatkan kita hidup dan menjadi manusia atau insan yang sempurna.

Menurut beliau, Allah SWT telah mambalut Tiflul Maani ini dengan pelbagai balutan cahaya kerana jika ianya tidak dibalut maka kekuatanNya akan membakar jasad atau tubuh atau badan yang menjadi sarungnya didunia ini.

Seperti tenaga letrik yang berjalan didawai tembaga terhad atau dihadkan kekuatannya oleh lapisan lapisan pembalut plastik sesuai dengan kegunaan tenaga itu, begitu jugalah kekuatan TIFLUL MAANI itu dihadkan kekuatannya sesuai dengan kehidupan manusia itu dimuka bumi ini.

Maka yang kelihatan ketika kewujudan balutan balutan itu hanyalah kekuatan yang terhad yang disesuaikan hingga yang terlihat hanyalah apa yang kita sebut sebagai kesan kesan SIFAT SIFAT MAANI ALLAH SWT. Sifat Sifat MAHA iaitu Sifat MAKNUYAH itu seperti ghaib. Kesan wujudnya juga hampir tidak kelihatan.









Yang demikian bolehlah kita katakan bahawa Sifat Sifat Maknuyah Allah SWT sememang wujud pada Diri Sebenar manusia itu. Ianya hanya akan NYATA apabila balutan balutannya terhapus atau dihapuskan.

Saudara pembaca,

Bagi sesaorang yang bertauhidkan kepada Keesaan Allah SWT dan betul betul meyakini akan kebenaran Ilmu Hakikat, wajiblah ianya beriman bahawa tiada apa yang wujud dialam maya pada ini melainkan Zat Alllah semata –mata.

Wajib juga ia percaya bahawa Allah meliputi dirinya dan pengliputan itu menjadikan dirinya sebagai manusia pada hakikatnya tidak wujud.

Dia juga yakin bahawa Ruh atau Nyawa atau Hati atau Qalbunya merupakan Ruh Al – Qudsi Allah yang memilikki segala Sifat Sifat Allah termasuk Sifat Sifat 20 yang wajib diketahuinya berkaitan Allah SWT.

Yang demikian apa yang harus ditumpukan oleh sesaorang salik itu, setelah meyakini bahawa Diri Yang Sebenarnya Diri itu memilikki Sifat Sifat Maknuyah Allah SWT ialah mencari JALAN untuk menemuinya dengan pemecahan pemecahan balutan balutan itu.

Usaha usaha pemecahan balutan balutan cahaya yang membalut Ruh Al – Qudsi atau bagi Syeikh Abdul Qadir TIFLUL MAANI boleh dicapai dengan beberapa cara mengikut pegangan dan fahaman sesaorang itu.

Bagi orang orang yang hanya meyakini Ilmu Syariat maka caranya ialah mentaati Alllah SWT sebaik mungkin dengan menjauhi sift sifat terkeji dan melakukan sebanyak mungkin ibadah.

Bagi ahli ahli Tarikat pula maka sewajarnyalah ia menaikkan tahap zikirnya dengan bimbingan mursyid hingga mencapai Makrifatullah.







Bagi Ahli Tauhid iaitu Ahli Hakikat tumpuan ialah kepada Mengesakan Allah dan memusnahkan Keakuannya …..

Dan bagi Dr Bagindo Muchtar Diri Yang Sebenarnya Diri itu boleh ditemui kalau sekiranya sesaorang itu mengetahui JALAN DIRI itu sendiri. Perkara inilah yang dihuraikan oleh Dr Bagindo Muchtar didalam bukunya yang oleh penyalin dijudulkan semula sebagai PANDUAN MENEMUI DIRI DENGAN MEMANDANG KEDALAM.

MATLAMAT TERAKHIR – THE ULTIMATE OBJECTIVES.

Saudara Pembaca !

Awal Awal Agama Ialah Mengenal Allah . Apa pula Akhir Akhir Agama itu ? Sewajarnyalah Akhir Agama Itu Menemui Allah.

Saya tidak pasti sama-ada ada Hadith atau Ayat Ayat Al-Quran yang menegaskan bahawa Akhir Akhir Agama Itu Ialah Menemui Allah setelah Kita Dapat Mengenalnya.

Apapun terdapat banyak Ayat Ayat Al-Quran yang menjelaskan bahawa sesaorang itu dapat BERTEMU dengan Allah mengikut cara cara yang ditentukan oleh Allah sendiri dan caranya yang jelas ialah dengan PANDANGAN BATIN dan dengan MENGENAL DIRI SENDIRI.

Yang demikian Mengenal Diri itu sewajarnyalah Awalnya dan MENEMUI DIRI itu adalah akhirnya.

Jadi kita katakan bahawa tiadalah gunanya ILMU, jika kita tidak dapat menggunakannya untuk MENGENAL DIRI. Dan boleh juga kita katakan bahawa adalah sia sia kita dapat kita Mengenal Diri kita jika kita tidak dapat MENEMUINYA. Dan adalah perkara yang SANGAT MALANG dan SANGAT RUGI jika kita tidak dapat MENEMUI ALLAH setelah kita berjaya Menemui Diri kita.









Barangkali inilah yang sewajarnya menjadi MATLAMAT AKHIR atau THE ULTIMATE OBJECTIVES kita menuntut Ilmu apatah lagi ILMU MENGENAL DIRI .

Iaitu kita wajib belajar Mengenal Diri agar Diri itu dapat kita TEMUI dan akhirnya sebagai SifatNya Diri itu sebagai bahagian Yang Ghaib kita dapat pula DIRI itu, membawa kita MENEMUI ALLAH TUHAN kita YANG MAHA GHAIB itu.

Barangkali inilah maksud Hadith : Wa Man Arafa Rabbahu Fasadal Jasad – Sesiapa Yang Mengenal Tuhannya maka binasalah JasadNya.

Pokoknya ialah JASAD atau BADAN itu wajarlah diBINASAKAN dahulu agar YANG BATIN itu WUJUD ESA DENGAN ALLAH, dapat berkuasa sepenuhnya dalam ertikata menguasai segala-galanya mengikut KETENTUAN TUHANNYA.

Soalnya ialah bagaimanakah caranya kita dapat mengenal dan menemui DIRI kita itu ? Maka sewjarnyalah kita menghalusi maksud Hadith Baginda Nabi Muhammad : BERTAFAKUR SESAAT ITU LEBIH BAIK DARI BERIBADAH SELAMA 70 TAHUN. Bagaimanakah caranya kita bertafakkur itu ?

Cara Bertaffkur dan CARA UNTUK MENEMUI DIRI dan TUHAN inilah yang ditumpukan oleh Dr Bagindo Muchtar dalam buku yang anda akan baca ini. Maka wajarlah anda BERSYUKUR kepada Allah dan berterima-kasih kepada Dr Bagindo Muchtar kerana selain buku ini saya belum pernah terjumpa mana mana buku dan kitab yang menunjukkan cara caranya MENEMUI DIRI sejelas buku Dr Bagindo Muchtar ini.









Semuga anda sebagai pembaca akan menemui Diri anda sendiri dan menikmati erti kehidupan sebenar melalui cara cara Dr Bagindo Muchtar, kerana bagi Dr Bagindo Muchtar cara cara kehidupan yang kita jalani selama ini adalah cara cara kehidupan yang salah dan merugikan. Kita perlu mencari jalan CARA KEHIDUPAN BARU dengan menyerahkan segala urusan kehidupan kepada DIRI yang telah ditemui itu.

Semuga Allah memeberi Taufik dan HidayahNya kepada kita semua. Bersyukur kita kepada Allah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr Bagindo Muchtar ( yang pada pendapat penyalin barangkali dia jugalah yang menamakan dirinya Professor Dr Muchtar Lintang pengasas silat NASRUL HAQ. ) Terima ksih kita juga kepada anak muda yang telah memulangkan semula buku Dr Bagindo Muchtar ini kepada penyalin.

Walllahhualam, salam takzim dan selamat membaca.

Ikhlas dari,


Al – Fakir Abdillah Abdullah Al – Gemasi
Kampong Londah, Gemas Negeri Sembilan, Malaysia.
09 Julai 2006.

6 ulasan:

  1. asalamualikum terima kasih ilmunya jadi sedekah yang tiada putusnya dengan izin Allah jua.

    BalasPadam
  2. Alhamdulillsh...terims kasih atas peekongsian ilmu yg tidak ternilai ini..saya mengenali salah sorang anak arwah mokhtar lintang...kini beliau berada Di kelantan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hamba ingin berkenalan. Minta whasapp ke 011 25664425

      Padam
  3. Terima kasih atas perkongsian ilmu mengenal diri sendiri Al Fatihah buat Almahrum Dr.Bapak Bagindo Mochtar

    BalasPadam

  4. Terima kasih atas perkongsian ilmu mengenal diri sendiri Al Fatihah buat Almahrum Dr.Bapak Bagindo Mochtar.bagaimana nak memiliki buku tu?

    BalasPadam
  5. Saya pernah belajar jurus tidur dari prof mukthar di pej HK jln pekeliling. K.lumpur wasap saya 0164515761

    BalasPadam