Selasa, 11 Mei 2010

MANUSKRIP DR BAGINDO MUCHTAR - BAB 17 hingga 19

BAB TUJUHBELAS
KISAHKU MENCARI TUHAN

Anak anakku !

Dilahirkan kita didunia ini untuk menjalankan kehidupan. Dimana tempatnya ? DiRahim bonda kita.

Sebelum di Rahim bonda dimanakah kita ? Belum ada, ya memang kita belum dilahirkan sejasad sejiwa. Akan tetapi BATIN kita telahpun ada. Dimana ? BersamaNYA, terkandung didalam RahsiaNYA iaitu ALLAH.

Dan itulah Aku kini. Aku dilahirkan sebagai manusia melalui ibu bapaku. Dizahir Aku keluar dari Rahim ibu, di batin aku datang dari Rahim Tuhanku. Tuhanku bersifat Rahman & Rahim. Aku terkandung didalamnya.

Sekarang aku dikandung oleh badanku sendiri. Semenjak keluar dari rahim ibu maka putuslah hubungan secara langsung dengan Tuhanku dan ibuku. Alam sekelilingku menyebabkan aku selalu ingat kepada Yang Menjadikan Aku, Allah Tuhanku dan juga kepada kedua ibubapaku.

Pengalamanku, perasaan suka dukaku menyebabkan timbul hajatku yang besar untuk MENCARI TUHANKU, ALLAH. Perasaan Ketuhananku tidak puas sebelum aku dapat menemuiNYA, Allah Tuhanku.

Dalam pencarianku, aku mengembara dan mengembara. Semakin jauh pengembaraanku semakin jelas tanda tanda KebesaranNYA, KemurahanNYA, Kasih SayangNYA, IlmuNYA ….. akan tetapi DIA belum lagi dapat kutemui.

Bapak Dr Paryana Suryadipura melalui buku Alam Fikirannya, memberitahu bahawa untuk meningkat ketingkatan yang lebih tinggi dan dalam, hendaklah kita beramal. Amalan itu pula ada dua iaitu amal beserta hawa nafsu dan yang kedua amal soleh. Yang demikian untuk menemui Allah amalannya hanya satu iaitu amal soleh yang ikhlas.







Bersamaan dengan PEMISAHAN pada perbuatan amalanku itu, aku dapat tahu telah terjadi pemisahan pada badanku sendiri. Dan tahulah aku sekarang yang mana DIRIku yang sebenarnya. Sedarlah aku peganganku selama ini pada barang Yang Mati sedangkan Yang Hidup tidak aku pedulikan.

Aku telah menemui DIRIku. Padanya letaknya kebenaran, ketenangan, kedamaian yang tidak pernah aku perdapat selama ini. Aku pelajari diriku dan banyak Rahsianya yang aku ketahui. Dalam segala hal DIRIkulah yang aku kemukakan.

Dan dengannya pula dalam ke-ada-an TIDAK ADA aku MENEMUI TUHANKU. DiHADIRATNYA aku sudah tidak ada lagi, tidak ada yang ada, tidak ada angin, tidak ada ribut. Dan yang ada HANYA DIA Tuhanku dan aku hilang dalam ke-ada-anNYA. Aku telah pergi sebelum dipanggil, sudah tiada sebelum ditiadakan, sudah datang sebelum sampai dan Aku telah kembali keSANA.

Tahulah aku siapa aku sebenarnya dan sekarang hendak kemana aku dan mahu apa aku ?

Aku hendak menemui kedua ibu bapaku yang pada zahirnya telah tiada kerana sudah lama meninggal dunia. Aku hendak melakukan sembah sujud kepada kedua mereka dan hendak membebaskannya. Bapaku dalam keadaan tiada dengan setidak tahuku telah lama mendampingi aku. Akan tetapi ibuku belum lagi dapat kutemui. Aku menziarahi perkuburan mereka. Sewaktu membacakan Dua Kalimah Syahadah aku terkejut kerana ada bisikan ditelingku yang berbunyi : Cukuplah sehingga ini peretemuan kita, nanti diakhirat kita berjumpa lagi. Aku terpesona kerana sesudah itu dia telah lenyap. Kepada Tuhan aku bermohon supaya ibuku dibebaskan dari azab kubur dan ditempatkan ditempat yang sebaik-baiknya.

Semenjak itu aku dudukkan dIRIku ditempatnya, dan dudukku duduk dirumah. Kalau perlu aku keluar. Ada kalanya pula aku duduk, tetapi berjalan, perjalanan yang merupakan perjalanan batinku.







Bolih kukatakan aku lebih banyak berjalan dari duduk dan lebih banyak berbuat dari bermenung. Perjalanan yang aku sebut diatas merupakan perjalanan hidup yang berisi, berisikan nikmat, tidak dimurkai dan tidak pula sesat.

Ilmuku Ilmu Ghaib berasal dai Yang Ghaib dan datangnya dari YANG MAHA GHAIB.

Kepada saudaraku, kaumku dan bangsaku yang merasa ketinggalan aku pesankan letakkan sesuatu itu pada tempatnya dengan mengharamkan yang haram, menghalalkan yang halal dan jangan pakai kesempatan dalam kesempitan. Kuasailah DIRImu letakkan pula pada tempatnya iaitu Ketenangan dan Kedamaian.

Aku juga ingin berpesan untuk kesian kalinya : Padamu ada tenaga yang tersembunyi yang belum pernah engkau pakai secara positif selama ini. Tenaga ini mealiri seluruh batang tubuhmu didalam. Pergunakanlah DIA untuk mengejar apa yang tertinggal.

Tingkatkan cara berfikirmu kedalam, hentikan segala gerak langkah sehingga yang tinggal hanya gerak yang tidak dapat kamu kuasai. Gerak yang tinggal itu ialah gerak dari Tenaga Batinmu atau Tenaga Yang Tersembunyi bagimu. Dengan perlakuan itu kamu sudah mulai adakan pemisahan didalam dirimu, pemisahan antara Gerak Zahir dan Gerak Batin, Tenaga Zahir dan Tenaga Batin antara Badan dan DIRI. Terjadinya itu baru pemisahan didalam. Sekarang tingkatkan lagi fikiranmu bagaimana cara hendak mengetahui dan dapat merasakan Tenaga Dalam itu.

Untuk itu kamu mesti membawa tenaga itu keluar yang bererti kamu harus menembus alamnya sendiri sampai kekulit dan bulumu. Sanggupkah kamu sendiri menembus itu dengan perkataan lain membuka pintu yang tertutup itu ?







Jawabnya ialah sebaliknya, kamu cari orang yang tahu dan mengerti dan telah mempunyai untuk meminta petunjuk petunjuk.

DIA ada tetapi tiada, dia sulit tetapi mudah, dia ringan tetapi berat dan jangan dipandang enteng pula kerana mungkin membahayakan kalau dicuba dengan sendiri. Sebaiknya mendapatnya dengan jalan berguru.

Adalah DIA itu mempunyai Jalan Sendiri semenjak dari dalam jalan yang berisi. Berisikan titik titik dan titik itulah Rahsianya kerana DIA berasal dari Yang Setitik ( sedikit ) Perjalanan titik itu didalam sepanjang tubuh merupakan gambaran dari Jasmani yang dinamakan Ruhani. Jadi adalah yang dimaksud dengan Tenaga Batin itu ialah Tenaga Ruhani yang berasal dari RUH. Pada kita adalah TITIK PENJADIAN itu berasal dari Tuhan dan dengan dapat menguasai Titik itu kita dapat pula Jadi Menjadikan dengan memperkembangkannya.

Setelah menemui dan menguasainya marilah kita pergunakannya untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Kalau kita tahu padanya ada kasih sayang dan kita perkembangkan maka kita akan dikasihi dan disayangi. Kalau kita ketahui padaNYa tiada yang tidak ada, maka akan mudahlah urusan kita.

Kalau kita tahu bahawa kita telah pandai memasukkan Siang pada malam dan Malam pada Siang, mendatangkan Yang Hidup dari Yang Mati dan Yang Mati dari Yang Hidup, tentu kita akan menerima rezeki yang tidak diduga duga datangnya. Pendek kata TIDAK ADA YANG SULIT DISISI TUHAN dan padaNYA tidak ada yang tidak bolih diatasi.

Kehidupan kita yang telah berlalu penuh kesusahan, kegelisahan dan penderitaan akibat ketidakmampuan kita dalam banyak perkara . Kenapa ? Pada kitalah letaknya segala kesalahan itu, bukan pada orang lain. Kita tidak tahu di DIRI kita dan kita telah lupa akan DIRI kita. Kita telah menurutkan JALAN MATI bukan JALAN YANG HIDUP. Maka wajarlah kita kembali kejalan yang benar dan kita tinggalkan jalan yang sesat lagi menyesatkan. Yang benar ialah DIRI kita bukan BADAN kita. DIRI kita itulah Yang Hidup dan pada BADAN kitalah letaknya kematian.






Orang yang berpegang kepada BADANnya, bererti menempuh Jalan Mati, dan orang yang berpegang pada DIRInya bererti menempuh Jalan Hidup. DIRI kita letaknya DI-DALAM dan mempunyai JALAN SENDIRI didalam BADAN kita.

Untuk menemui JALAN itu hendaklah kita BUKAKAN PINTU dari LUAR atau kita TEMBUS DARI DALAM. Jika ini semua diluar kemampuan kita maka wajarlah kita mencari guru.



BAB LAPANBELAS
JALAN JALAN KEHIDUPAN

Telah kitaketahui dalam kehidupan kita, kita menempuh TIGA JALAN :-

a. Pertama : Berjalan dengan sendirinya
b. Kedua : Menjalankan kehidupan sendiri
c. Ketiga : Dibawa berjalan

Perjalanan pertama iaitu sewaktu didalam kandungan berjalan dengan Ilmu Tuhan. Itu sebabnya kita tidak merasa susah.

Perjalanan kedua iaitu setelah kita lahir, kita menjalankan sendiri kehidupan kita. Salah jalan mengakibatkan penderitaan.

Perjalanan ketiga, iaitu setelah perjalanan sampai kebatasnya, kita dibawa berjalan kembali keasalnya kita.

Dari tiga macam perjalanan diatas perjalanan yang pertamalah yang terbaik iaitu berjalan dengan Ilmu Allah. Persoalannya ialah setelah kita dilahirkan adakah Ilmu uhan itu masih ada pada kita ? ADA, padanyalah terletak Rahsia kehidupan kita.

DIA menghidupkan kita didalam mealiri dan mengisi Jalan Kehidupan kita dan TERBATAS pada KULIT dan BULU kita. Pembawaannya yang berjalan dengan sendirinya itu bagi kita TETAP ADA. DIA telah ada semenjak kita diadakan. Dan keadaan sekeliling kita yang menyebabkan kita lupa atau sampai melupakannya.

Kehidupan yang kita WARISI terlampau banyak dibawa MELIHAT KELUAR dan amat sedikit diberi tahu tentang KEADAAN KITA DIDALAM. Kita dididik dan diasuh mengenai keadaan alam diluar kita, Keperluan hidup diluar sekarang dan akan datang. Kita disuruh menuntut ilmu biar sampai kenegeri Cina. Dititik-beratkan kehidupan kita kepada kehidupan zahir dan amat sedikit kita diberitahu mengenai kedudukan yang tidak nampak iaitu yang ghaib.






Diberitahu kita akan adanya yang Yang Maha Ghaib iaitu Allah tetapi amat sedikit kita diberitahu tentang JALAN KEPADANYA kerana tidak ada yang dapat menunjukkan jalan yang sebenarnya kerana amat sedikit pula orang yang mendapat petunjuk akan jalan itu iaitu jalan yang sebenarnya jalan.

Kita didik terlampau jauh melihat keluar sampai kita lupa akan DIRI kita. Dari itu makanya banyak orang kesasar hidup. Jalan Hidup kita yang sebenarnya adalah LURUS iaitu keatas dan kebawah. Keatas kita kembali kepada Tuhan dan kebawah kita kembali ketanah.

Cara kita menjalani hidup bercabang-cabang, kekiri dan kekanan, kehadapan dan kebelakang. Kebelakang bererti mundur, berjalan surut itu tidak mungkin kerana telah dilewati. Kita melihat kebelakang untuk mempelajari jalan yang kita bawakan dan lalui, untuk diperbaikki pada jalan yang akan datang. Kita melihat kehadapan untuk maju terus kalau kalau ada halang rintangan. Untuk itu makanya kita berbelok kekiri dan kekanan guna kembali kejalan yang lurus dan sebagainya.

Jauh sudah kita berjalan dan telah lama rasanya kita berjalan apa yang kita perdapat ? Suka duka telah dilalui, bermacam teori telah dipraktikkan, yang tidak pernah dibuat telah dibuat, yang tidak bolih telah dibolihkan, yang haram telah dihalalkan. Mahu harta telah dipunya tetapi mahu lagi, mahu isteri telah dapat tetapi mahu lagi, mahu rumah besar telah punya tetapi juga mahu lagi mahu kereta telah pun ada tetapi mahu ditambah lagi dan berbagai bagai lagi kemahuan yang tidak pernah cukup.

Kenapa begitu ? Kerana kepuasan belum dicapai oleh kerana jalan untuk mendapatkannya tidak pada jalannya yang benar melainkan dengan jalan menurutkan HAWA NAFSU. Dan dengan tidak disedari jalan lurus yang ditempuh untuk mendapat BAHAGIA telah berjalan dengan sendirinya dan telah hampir sampai kebatasnya. Tahu tahu tenaga habis, daya sudah tidak ada, Kekuasaan Tuhan pun berlaku MAUT pun sampailah. Kita sudah tidak ada lagi. Kita sudah jauh didasar, sesat lagi disesatkan, kerana berjalan tidak pada jalannya. Kita telah menempuh jalan kosong yang dimurkai lagi menyesatkan iaitu Hawa Nafsu yang berisikan Syaitan & Iblis.





Jalan Yang Benar lagi Lurus itu ada padamu, pokok pangkalnya di DIRImu. Untuk mendapat petunjuk hendaknya jangan berdoa sahaja hendaklah juga kita pergunakan otak dan kecerdasan kita.

APA LAGI YANG DIMINTA KEPADA TUHAN, SEDANGKAN YANG KAMU MINTA DAN KEHENDAKKI ITU TELAH DIBERIKAN KEPADAMU. Kebodohan kamu yang menyebabkan kamu berkurangan, tiak puas dan sebagainya.

Kalau kamu telah mengetahui semua itu, TIDAK PADA TEMPATNYA KAMU MEMINTA PADA TUHAN KERANA APA YANG KAMU MINTA ITU TELAH DIBERIKAN KEPADA KAMU SEBELUM KAMU MEMINTA. ( Itulah dia DIRI Yang Sebenarnya DIRI yang telah dan sentiasa bersamamu tanpa kamu ketahui sejak kamu diadakan )

Anak anakku,

Sekali lagi aku ingatkan, pelajarilah Hakikat Hidup yang sejati dan kembalilah kepada kehidupanmu yang sebenarnya. Berpeganglah kepada Yang Hidup jangan kepada Yang Mati. Carilah DIA DIRImu.





BAB SEMBILANBELAS
PETUNJUK PETUNJUK UNTUK KEBENARAN

Al- Quran Surah Ali Imran : Ayat 27

DimasukkanNya malam kepada siang, siang kepada malam, didatangkanNya yang hidup daripada yang mati, yang mati daripada yang hidup. Diberinya rezeki ( kapada ) sesiapa yang dikehendakkinya dengan tiada terhitung.

Ulasan kepada Ayat

Malam ada pada kita dan Siang pun ada pada kita. Begitu juga Yang Hidup dan Yang Mati juga ada pada kita. Bagiku adalah malam yang dimaksudkan ialah Badan dan Siang ialah DIRI atau Yang Hidup adalah DIRI dan Yang Mati adalah BADAN.

Maka adalah orang yang diberi ( oleh ) Tuhan rezeki yang tidak terhitung banyaknya itu ialah orang yang dikehendakkiNya iaitu mereka mereka yang dapat mengeluarkan Yang Hidup dari Yang Mati dan sebaliknya Yang Mati dari Yang Hidup dan juga mereka mereka yang pandai memasukkan Siang kepada Malam dan Malam kepada Siang.

Pada permulaan ada SABDA ( Firman ) dan Sabda ada pada Tuhan. ( Kun Fayakun ) Semua benda dijadikan olehNYA. Tiada sesuatu yang boleh terjadi dengan sendirinya. Didalamnya ada NYAWA dan Nyawa ialah CAHAYA yang sebenarnya, yang menyinari setiap sesuatu / setiap manusia didunia ini. DIA ada didalam Dunia, dan Dunia dijadikanNya tetapi Dunia tidak menegnal DIA.

DIA menyinar dalam Gelap tetapi sigelap tidak mengerti ………………………………
SiTerang menerangi Si-Gelap dan Si- Gelap tidak mengerti…………………………..

Burung ada didalam Sangkar, Sangkar dibuat untuk Burung tetapi Sangkar tidak mengenal Burung.







GELAP = MALAM = MATi = BADAN
TERANG = SIANG = HIDUP = DIRI

Untuk dapat memasukkan Malam kepada Siang dan sebaliknya dan untuk mengeluarkan Yang Hidup daripada Yang Mati dan sebaliknya, hendaklah kamu terlebih dahulu dapat memahami akan tujuan atau maksud ERTIKATA yang sebenarnya dari perkataan SIANG dan MALAM, HIDUP dan MATI itu.

Secara Ilmiah kita harus mengadakan PEMISAHAN antara BADAN dan DIRI. Bagiku adalah DIRI itu berdiri dengan sendirinya. Alirannya meliputi keseluruhannya apa yang ada pada kita dan adalah yang dinamakan Badan itu menjadi kepunyaannya.

Kalau kita mahu mengambil perbandingan keluar, maka perhatikanlah akan kabel letrik dan pelajarilah mana yang stroom ( current ? ) dan mana yang kawat ( dawai ) Dan adakah batas antara stroom dan kawat ? Tidak ? kalau tidak kenapa kalau kita pegang kawatnya bahagian luar, stroom tidak menjalar pada kita ?

Adalah keadaan stroom dan kawat itu jauh tidak berantara dan dekat tidak berbatas. Alirannya terbatas pada kulit luar.

Begitu pulalah DIRI kita didalam mealiri seluruh isi tubuh didalam dan diluar berbataskan Bulu dan Kulit.

DIA adalah Si-Terang yang menyinari alam sekelilingnya. Juga adalah DIA Si-Siang yang letaknya didalam batang tubuh kita. Si-Terang dan Si-Siang itu adalah DIA Yang Hidup yang alirannya mengaliri batang tubuh didalam. Jadi Si-Terang – Siang – Hidup letaknya dan tempatnya bagi kita ialah DI-DALAM.

Untuk mengeluarkan Yang Hidup daripada Yang Mati atau memasukkan Malam kepada Siang dan sebaliknya mengkehendakki si DIRI sanggup menembus DINDING sendiri atau menembus Bulu dan Kulit yang menjadi batsnya untuk DIA keluar.





Menembus Dinding sendiri bererti menembus ALAM SENDIRI ( badan ) yang juga bererti menembus bulu dan kulit kita.

Penembusan Bulu dan Kulit bererti kita telah MENEMUI JALAN DIRI sendiri dan perkenalan kita dengannya memperkenalkan DIRI sendiri kepada kita dan dengannya pula kita dapat MENEMUI DIRI SENDIRI.

Kalau jalannya telah ditemui, maka tidaklah sulit untuk mengenalnya dengan erti kata sebenarnya dan apalagi kalau kita telah dapat menemuinya.

Ada apa pada DIRI kita itu ? Untuk mendapat jawapan hendaklah kita tahu betul pada DIRI kita itu, apa apa yang terkandung didalamnya. Untuk dapat mengetahui hendaklah kita perhatikan dan pelajari JALANNYA DIRI itu.

Setelah memperhatikan jalannya DIRI dengan saksama maka kita akan tiba pada suatu kesimpulan bahawa yang dikatakan jalannya Diri itu ialah sama juga dengan PANCARAN dari dalam tubuh kita atau seumpama stroom bagi kawat letrik.

Penemuan kita pada Pancaran atau stroom yang pasti sudah kita ketahui, berasal dari dalam batang tubuh kita yang mana kalau diturutkan mendatangkan pergerakan dan kalau diturutkan terus melahirkan pergerakan pergerakan bermacam yang berliku-liku yang bagi kita amat sulit untuk dimengerti.

Akan tetapi suatu keberuntungan yang telah kita perdapat ialah suatu kepastian bahawa adalah pancaran atau stroom itu berasalkan atau datangnya dari dalam tubuh kita. Patut diketahui bahawa pusat dari seluruh pergerakan pada kita letaknya di OTAK.

Pada otak ada pusat yang menghubungkan CITA ( idea ) kita dengan dunia dalam kita ( microcosmos ) Ada pusat yang menghubungkan kita dengan dunia luar ( macrocosmos ) . Ada pusat pusat akal, kemahuan, kesadaran dan ingatan.





Selain dari pusat pusat tersebut ada pula yang geraknya langsung diluar kemahuan kita seperti jalan nafas, degupan jantung, usus, pembuluh darah dan sebagainya yang dinamakan pusat susunan persarafan simpatis. Gerakan ini adalah gerakan didalam batang tubuh kita yang bertujuan menjamin hidup kita.

Kedudukan kepala dan isinya ialah bahagian teratas dari batang tubuh. Dalamnya terkandung akal,ingatan, kemahuan dan kesadaran.

Pada waktu tidur, maka seluruh kegiatan kita terserah kepada DIRI yang tidak pernah tidur dan terletaknya batang tubuh kita dalam keadaan istirehat oleh keletihan pada siang harinya.

Pada waktu bangun, DIRI mendatangkan kesedaran dan ingatan kepada kita dan kegiatan kita mulai timbul kembali dengan datangnya kemahuan untuk duduk, mandi dan sebagainya iaitu melakukan tugas tugas hidup seharian.

DIRI membangunkan Badan melalui kesadaran terus keingatan, ingatan mendatangkan akal ( pertimbangan / rasa ) akal juga menerbitkan kemahuan, kemahuan menghasilkan kegiatan dan tindak tanduk perbuatan.

Begitu pula badan yang hendak berehat, perjalanannya ialah dari kemahuan kepada akal atau pertimbangan dari akal ke ingatan, dari ingatan kepada kesadaran dan beransur-ansur kesadaran hilang dan tertidurlah badan.

Dan tinggallah DIRI yang tidak pernah tidur dengan kegiatan kegiatannya didalam yang melahirkn pergerakan jalannya pernafasan, jantung, usus dan sebagainya. Dan kesemuanya itu berlangsung diluar kemahuan kita dan bertujuan menjamin kita terus hidup.

Kemana perginya tenaga tenaga dari kesadaran, kemahuan, ingatan dan akal ketika kita sedang tidur ?

Proses kejadian ini menunjukkan kepada kita bahawa pada kita ada tenaga yang tersembunyi yang menguasai seluruh keadaan kita.





Perumpamaannya ialah seolah-olah sekelumpuk kambing dengan pengembala yang dengan adanya pengembla maka kambing ambing dapat dikumpulkan dalam satu kelompok, dapat dihantarkan ketempat yang banyak rumput yang ada air untuk akhirnya dihantar kembali kekandangnya.

Atau secara garis kasarnya ibarat sipemburu dengan senjata atau sipenunggang dengan kudanya.

Bagaimanakah kedudukannya didalam badan kita ?

Untuk dapat menjawab kami pergunakan Ayat 35 dari Surah An-Nur yang bererti :

Allah memberi cahaya langit dan bumi. Umpama cahayanya kepada orang beriman seperti sebuah lubang didinding rumah didalamnya ada pelita, pelita itu didalam gelas, gelas itu kelihatan laksana bintang yang berkilau-kilauan dilangit. Pelita itu dinyalakan dengan minyak kayu yang berkat, iaitu minyak zaitun yang tiada tumbuh ditimur mahupun dibarat, hampir minyaknya itu bercahaya dengan sendirinya meskipun tidak disentuh api. Cahaya berdamping dengan Cahaya. Allah menunjukkan beberapa perumpamaan bagi manusia dan Allah mengetahui tiap tiap sesuatu.

Tenaga Yang Tersembuntyi yang ada pada kita itu ialah Tenaga Ruhani yang berasal dari dalam batang tubuh kita. Timbulnya Ruhani disebabkan adanya Jasmani atau lebih terang Ruhani adalah gambaran dari Jasmani. Ruhani adalah tiruan dari Jasmani. Perkembangan Ruhani ialah bergantung kepada perkembangan amal perbuatan Jasmani. Ruhani orang beriman berlainan dengan Ruhani orang munafik. Ruhani orang berbuat baik berlainan debngan Ruhani orang jahat. Begitu jugalah Cahaya orang beriman dan orang kafir adalah berlainan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan