Rabu, 16 Februari 2011

MISKAATUL ANWAR - -ENTRI 7 & 8



7. Wajah Allah: Penerangan "mendalam" tentang perhubungan cahaya-cahaya ini dengan Allah..

Mungkin saudara ingin benar hendak tahu berkenaan wajah yang mana cahaya Allah itu dikaitkan dengan langit dan bumi, atau pun wajah yang mana Dia itu sendiri cahaya langit dan bumi. Inilah yang hendak kita bincangkan sekarang.
Sekarang saudara telah tahu bahawa Allah itu cahaya, dan yang lain dari Dia tidak ada cahaya. Setiap cahaya adalah Dia, dan juga cahaya keseluruhan adalah Dia juga.

• Oleh kerana cahaya itu bermaksud sesuatu yang menzhohirkan atau yang menampakkan yang lain; atau

• lebih tinggi iaitu bermaksud sesuatu yang dengannya dan untuknya yang lain dizhohirkan

• bahkan lebih tinggi dari itu lagi iaitu bermaksud sesuatu yang dengannya untuk dirinya dan dirinya yang lain terzhohir.

Sekarang saudara tahu juga bahawa apa sahaja digelar cahaya yang sebenarnya ialah sesuatu yang dengannya, untuknya, dan diri yang lain itu terzhohir atau ternampak. Cahaya ialah yang bercahaya dengan sendirinya. Cahaya itu timbul dalam dirinya, dari dirinya dan untuk dirinya. Cahaya tidak datang dari sumber yang lain. Cahaya yang sedemikian itu tidak lain tidak bukan hanya Allah sahaja.

Saudara juga telah mengetahui bahawa langit dengan bumi ini dipenuhi dengan cahaya, yang bersangkutan dua peringkat cahaya, iaitu pandangan mata dan pandangan akal.
Cahaya yang pertama itu ialah apa yang kita lihat di langit seperti matahari, bulan dan bintang; dan apa yang kita lihat di bumi, seperti sinaran cahaya yang melimpahi seluruh muka bumi, yang menampakkan semua warna, bentuk, binatang, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda lain dalam semua keadaan; dan jika tiada cahaya ini, maka tidaklah kita nampak warna, atau tidaklah ada warna.

Tiap-tiap bentuk dan saiz (besar atau kecil) yang terlihat oleh kita adalah diketahui oleh warna, dan tidak mungkin melihatnya tanpa warna.
Berkenaan cahaya Akal, maka Alam Tinggi itu dipenuhi oleh cahaya itu, iaitu seperti kejadian malaikat; dan Alam Rendah ini pun dipenuhi oleh cahaya itu iaitu seperti hidup (nyawa) binatang dan hidup manusia. Susunan atau keadaan Alam Rendah ini dizhohirkan dengan cahaya malaikat. Inilah susunan atau keadaan yang disebut oleh Allah;

• "Dialah yang membentuk kamu dari tanah, dan menampakkan kamu di permukaan bumi, agar Dia menjadikan kamu sebagai khalifah di atas muka bumi" dan

• "menjadikan kamu khalifah di muka bumi', dan

• "Sesungguhnya aku adalah khalifah di muka bumi". (Al-Quran)

Oleh yang demikian, saudara lihat bahawa seluruh alam ini dipenuhi oleh cahaya pandangan zhohir dan cahaya Aqal Batin, dan juga cahaya-cahaya tingkat rendah ini dipancarkan atau dikeluarkan kepada satu dari yang lain. Umpama cahaya yang keluar dan terbit dari sebuah lampu; sementara lampu itu sendiri ialah Cahaya Kenabian yang tinggi. Ruh-ruh Kenabian itu dinyalakan dari ruh-ruh yang tinggi, seperti lampu dinyalakan api, dan ruh-ruh yang tinggi ini dinyalakan kepada satu dari yang lain.

Susunan ini adalah berperingkat-peringkat ke atas. Semua ini naik naik ke atas sampai ke cahaya bagi segala cahaya. Sumber dan punca segala cahaya iaitu Allah. Semua cahaya-cahaya lain adalah pinjaman dari Allah dan Dialah sahaja cahaya sebenarnya. Segalanya datang dari cahayaNya, bahkan Dialah segala-galanya. Dialah yang sebenarnya ada. Tiada cahaya kecuali Dia. Cahaya yang lain hanya cahaya wajah yang menyertaiNya, bukan terbit dari diri mereka sendiri..

Oleh yang demikian, wajah dan muka segala sesuatu menghadap kepada Dia dan menghala kepadaNya. Firman Allah;

"Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka, di situ ada Wajah Allah". (Al-Quran).

Tiada Tuhan selain Dia, kerana perkataan "TUHAN" itu menunjukkan sesuatu yang kepadaNya semua muka menghadap dalam ibadat dan dalam penyaksian Dialah Tuhan. Saya (Imam Ghazali) maksudkan iaitu muka atau wajah manusia iaitu hati manusia, kerana hati itulah cahaya dan ruh. Bahkan sebagaimana;

"TIADA YANG DISEMBAH MELAINKAN DIA",

maka begitulah juga ;

"TIADA YANG MENYEMBAH SELAIN DIA",

kerana perkataan "DIA" itu membawa maksud sesuatu yang boleh ditunjukki. Tetapi dalam tiap-tiap perkara dan sebarang keadaan dan hal, kita boleh menunjuk sahaja. Setiap kali saudara menunjuk sesuatu, tunjukkan itu pada hakikatnya adalah kepada Dia, meskipun saudara tidak sedar oleh kerana kejahilan saudara tentang hakikat bagi segala hakikat, yang mana telah kita bincangkan dulu.

Seseorang itu tidak mungkin menunjuk cahaya matahari, tetapi boleh menunjuk matahari. Maka begitu jugalah halnya dengan perhubungan segala sesuatu (makhluk) dengan Allah. Perumpamaan perhubungan makhluk dengan Allah adalah seperti perhubungan cahaya matahari dengan matahari.

Oleh itu, ucapan "TIADA TUHAN SELAIN ALLAH" adalah ucapan tauhid kebanyakan orang.
Tetapi ucapan tauhid sedikit orang(yang mempunyai makrifat) ialah "TIDAK ADA DIA MELAINKAN DIA".

Yang pertama untuk orang awam, dan yang kedua itu untuk "orang khusus". Yang kedua itu lebih benar, lebih tepat dan lebih sesuai. sudah sewajarnyalah orang yang mengucap demikian itu memasuki Alam Keesaan (Uluhiyah) dan Ketunggalan yang Maha suci dan Mutlak; Kerajaan Yang Maha Esa dan Maha Tunggal, dan inilah peringkat atau kedudukan terkahir kenaikkan manusia.

Tidak ada tingkatan yang lebih tinggi dari itu lagi; kerana "NAIK" itu melibatkan berbilang-bilang (banyak) seperti melibatkan dua tingkatan naik "DARI" dan naik "KE". Apabila berbilang-bilang telah lenyap, maka terdirilah Keesaan. Perbandingan tidak ada, semua isyarat atau pengucapan dari "SINI" ke "SANA" pun tidak ada. Tidak ada lagi "TINGGI" atau "DALAM". Tidak ada "ATAS" atau "BAWAH".

Dalam tingkatan tersebut, naik ke atas lagi bagi ruh, tidak mungkin, kerana tidak ada lebih tinggi daripada yang paling tinggi. Tidak ada berbilang-bilang (banyak) di samping Esa dan Tunggal. Di sini berbilang-berbilang telah habis. Tidak ada kenaikkan (Mikraj) lagi bagi jiwa dan ruh. Jika ada pun, ia adalah "pertukaran di sini".

Maka pertukaran itu ialah "Turun ke langit yang paling rendah"; sinaran dari atas ke bawah, kerana yang paling tinggi itu, meskipun tidak ada lebih tinggi lagi dari takat itu, tetapi ada yang rendah. Inilah matlamat (tempat paling tinggi) dari segala matlamat. Tempat paling tinggi ialah matlamat terakhir yang dicari oleh ruh, yang diketahui oleh mereka yang tahu dan kenal, tetapi dinafikan oleh mereka yang jahil. Ini termasuk dalm bidang Ilmu Tersembunyi yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali orang yang mempunyai makrifat. Sekiranya mereka memperkatakan ilmu ini, ia akan dinafikan oleh orang-orang yang Jahil tentang Allah.

Tidak ada salahnya orang-orang yang mempunyai makrifat ini menyebut; "Turun ke langit yang paling rendah" iaitu turunnya seorang malaikat; meskipun seorang daripada mereka itu telah disangkakan membuat penerangan yag kurang wajar. Dia tenggelam dalam Keesaan Allah, dan berkata, bahawa Allah telah "turun ke langit paling rendah" bahawa penurunan ini adalah penurunannya, diibaratkan kepada cara-cara keadaan Alam zhohir, maka digunakan perumpamaan tersebut. Dia (orang yang tenggelam dalm Keesaan Allah itu) itulah yang dimaksudkan oleh sabda Nabi Muhammad SAW.;

"Aku menjadi telinganya yang dengannya dia mendengar; matanya yang dengannya dia melihat; lidahnya yang dengannya dia bercakap".

Jika Nabi itu menjadi telinga, mata dan lidah Allah, maka Allah sahajalah yang mendengar, melihat, bercakap. Dialah juga yang dimaksudkan dengan dengan firmanNya kepada Nabi Musa;

"Aku sakit, tetapi engkau tidak mengunjungi Aku".

Menurut ini, pergerakan badan orang-orang yang betul-betul beriman dengan Kesaan Allah itu adalah dari langit yang paling rendah itu, dan Aqalnya dari langit yang lebih tinggi dari langit yang kedua itu. Dari langit Aqal itu dia naik ke atas ke sempadan di mana makhluk tidak boleh naik lagi, iaitu Kerajaan Ketuhanan Yang Maha Esa, tujuh lapis dan selepas itu "Dia duduk di atas singgahsana" tauhid dan situ "Memerintah" seluruh lapisan-lapisan langit itu.

Orang telah tamat pengembaraan sedemikian rupa, maka ayat ini boleh dipakai kepada dia;

"Allah menjadikan Adam menurut bayanganNya"

Apabila ayat ini direnungi dan difikirkan secara mendalam, maka diketahulah bahawa maksudnya adalah serupa dengan kata-kata;

"Akulah Yang Haq(Tuhan)". "Maha suci Aku"

atau sabda Nabi SAW. bahawa Allah berfirman;

"Aku sakit, tetapi engkau tidak mengunjungi Aku" dan
"Akulah telinganya, matanya dan lidahnya".

Eloklah sekarang kita hentikan perkara ini kerana saya(Imam Ghazali) fikir saudara belum ada mendengar lebih dari apa yang sampaikan ini.

8. Perkaitan cahaya-cahaya ini dengan Allah; Penerangan yang lebih mudah.


Mungkin saudara susah hendak faham dengan penerangan yang tersebut dahulu itu. Maka saudara rasa payah hendak faham. Maka di sini saya akan memberikan penerangan yang lebih mudah, agar saudara dapat memahaminya.

Maksud "Allah itu cahaya langit dan bumi " boleh difahami jika dikiaskan kepada cahaya biasa yang nampak itu. Apabila saudara melihat warna tumbuhan-tumbuhan disiang hari- katalah warna hijau - saudara tentu menyangka yang saudara melihat warna, dan mungkin saudara mengatakan saudara hanya melihat warna, tidak ada yang lain lagi. Seolah-olah saudara mengatakan "Saya tidak nampak yang lain kecuali warna hijau ".

Memang banyak orang berdegil mengatakan demikian. Kata mereka perkataan " cahaya " itu tidak ada ertinya, hanya kosong, kata mereka apa yang nampak hanyalah warna. Dengan demikian, mereka menafikan adanya cahaya meskipun cahaya itulah yang paling terang dan nyata sekali terzohir daripada benda-benda lain. Kenapa tidak? Kerana dengan adanya cahaya itulah benda-benda itu terzohir atau ternampak. Kerana cahaya itu sendiri boleh kelihatan dan membuat benda-benda lain kelihatan, sebagaimana yang kita bincangkan dulu.

Tetapi apabila matahari terbenam dan lampu langit lenyap dari pandangan, dan bayangan atau gelap malam datang, maka barulah orang-orang ini sedar adanya perbezaan antara bayangan atau gelap dengan cahaya. Maka barulah mereka meyakini bahawa cahaya itu memang ada disebalik semua warna dan dilihat bersama warna.
Bolehlah dikatakan bahawa oleh kerana paduan persatuan cahaya dengan warna itu, hinggakan cahaya itu tidak disedari ada di situ, mungkin kerana terlampau terang dan nyata inilah menyebabkan cahaya kelihatan.

Mungkin kerana terlampau tarang dan nyata inilah menyebabkan cahaya tidak kelihatan, kerana sesuatu yang melampaui dari sempadan hadnya akan masuk ke wilayah yang berlawanan dengannya.
Jika penerangan ini telah jelas kepada saudara, maka saudara hendaklah tahu selanjutnya iaitu mereka yang dikurnai dengan pandangan sedemikian ini akan melihat Allah di samping sesuatu benda itu. Mungkin ada yang berkata;

" Tidak saya lihat sesuatu pun melainkan saya lihat Allah dahulu ".

Kerana ada di antara mereka yang melihat benda-benda melalui Allah dan dalam Allah. Ada pula yang melihat sesuatu benda itu dulu dan kemudian nampak Allah, dalam dan melalui benda-benda itu. Kepada kelas ( golongan ) yang pertama itu, Al-Quran ada menerangkan;

" Tidakkah cukup bahawa Tuhanmu melihat semuanya?".

Kepada kelas yang kedua ini dengan ayat;

"Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda kami dalam seluruh alam dan diri mereka sendiri ".

Bagi kelas ( golongan ) pertama, mereka melihat Allah terus; dan yang kedua melihat Allah melalui perbuatan-perbuatan atau kerja-kerjaNya(Allah). Yang pertama itu golongan Aulia Allah; dan yang kedua itu golongan orang-orang Arif " yang telah yakin dalam ilmunya." Selain dari dua golongan tersebut, tidak lain hanya orang-orang yang lalai; di muka mereka ada hijab (tabir).

Oleh yang demikian saudara mengetahui sekarang bahawa dengan adanya cahaya itu membolehkan mata kasar melihat dan nampak dan Allah itu membolehkan mata batin manusia melihat dan nampak kerana Allah itu ada bersama segala sesuatu setiap ketika dan Dialah yang menampakkan segalanya itu.

Meskipun ada persamaan antara kedua itu, namun perbezaannya ada juga. Cahaya biasa itu boleh hilang apabila matahari terbenam, dan datanglah gelap yang menjadi hijab. Tetapi Cahaya Ketuhanan itu tidak boleh hilang. Cahaya itu mesti ada untuk membolehkan penglihatan. Mataharinya tidak pernah terbenam. Ia kekal selamanya dengan semua perkara.

Oleh itu cara membezakan (sebagai cara untuk membezakan wujudnya Allah dengan perbuatanNya) tidaklah berupaya kita. Jika rupa Allah itu boleh dilihat, maka akan hancurlah langit dan bumi ini; dan oleh itu, melalui pembezaan, akan menerbitkan kesan dalam fikiran, yang serentak memaksa pengenalan kepada sebab yang dengannya semua perkara ternampak zohir. Tetapi sebagaimana yang kita lihat, semua kejadian tetap sama dan tidak berubah-ubah pada pandangan kita kerana Ketunggalan yang menjadikan mereka itu. Kerana "segala sesuatu memuji Dia" (Al-Quran).

Ini bererti bukan setengah-setengah perkara tetapi adalah segala-galanya, dan bukan kadang-kadang tetapi adalah sentiasa. Dengan itu, pembezaan ini tidak timbul, dan jalan menuju melihat rupa Allah itu terhalang. Kerana jalan yang paling terang menuju mengenal benda-benda ialah melalui pertentangan atau lawannya. Benda-benda yang tidak ada lawan ( OPPOSITE ) atau sebaliknya, dan keadaanya sentiasa serupa apabila kita melihatnya, akan menyebabkan besar kemungkinan pandangan kita disilapkannya.

Dalam hal ini, gelap atau tidak terang itu adalah akibat dari terlalu terang dan nyatanya, dan dikelirukan atau disilapkan oleh sinarannya yang terang itu. Maha Suci dan Agunglah Allah yang melindungkan dirinya dari makhlukNya dengan kerana terangNya itu, dan terhijab dari pandangan makhluk melalui SinarNya sendirinya yang terang benderang itu.

Mungkin juga keterangan ini tidak difahami oleh setengah-setengah orang yang kurang pintar, dan mereka yang membaca keterangan saya berkenaan " Allah bersama dengan segala sesuatu", kerana cahaya ini ada bersama segala sesuatu. Mungkin mereka memahami bahawa Allah itu ada setiap " tempat ". Maha Suci dan Maha Tinggi Allah itu dikaitkan dengan " tempat ".

Tidak usahlah kita menyangka yang tidak terjangkau oleh akal. Saya tegaskan bahawa Allah itu terawal atau terdahulu dari segala-galanya, dan diluar had sempadan jangkauan pemikiran makhluk. Dia menzohirkan segala-segalanya. Bahawa "Yang menzohirkan " itu tidak boleh dipisahkan diri "Yang menzohirkan", menurut segi pandangan si pemikir. Inilah apa yang kita maksudkan bahawa Allah bersama dengan segala sesuatu.

Saudara juga tentu tahu selanjutnya bahawa "Yang menzohirkan" itu adalah terdahulu dan terlampau tinggi dari jangkauan "Yang menzohirkan", meskipun dia "bersama" nya. Dia "bersama" nya dari satu aspek (wajah) dan "terlampau jangkauan" nya dari aspek yang lainnya.

Janganlah dianggap di sini ada pertentangan atau perlawanan (CONTRADICTION). Atau, fikiranlah bagaimana dalam Alam deria (yang mana tempat yang paling tinggi ilmu kita boleh maju ke atas) gerak tangan "bersama " dengan gerak banyangnya; namun begitu gerak tangan itu terdahulu dari banyangnya itu juga.

Barangsiapa yang tidak cukup pintar untuk menyikirkan ini, maka hendaklah ia meninggalkan penyelidikan tentang perkara ini, kerana:-
"Bagi setiap ilmu ada ahlinya; dan setiap orang dimudahkan untuk mendapat apa yang diuntukkan baginya. "

Tiada ulasan:

Catat Komen