Jumaat, 11 Februari 2011

Salam para pembaca yang di-Rahmati Allah.

Sudah terlalu lama fakir tidak menulis dilamanblog LAYARMERAH ini kerana kebanyakan entri dimuatkan dilamanblog FAKIRABDILLAH.

Mulai hari ini fakir akan catatkan rencana yang dipetik daripada beberapa kitab yang difikirkan elok kita baca bersama demi menambah ilmu agama.

Buat permulaan fakir muatkan terjemahan kitab Imam Al-Ghazali yang fakir copy and paste dari laman SULUK . Selamat membaca.

Misykaatul Anwar

Imam Al-Ghazali


Pendahuluan

Puji-pujian bagi Allah yang melimpahkan keluar Nur (cahaya) yang memberi penglihatan, dan dari rahsia yang Maha tinggi menyingkap hijab (tabir) malam.

Selawat dan salam kepada Muhammad SAW.; cahaya bagi segala cahaya; penghulu orang-orang yang sholeh, kekasih Allah; guru kepada mereka yang diberi keampunan; kepadanya diberi kesejahteraan; tangan yang melawan dan memukul kepada orang-orang yang berdosa dan kepada orang-orang kafir.

Saudaraku!'

Semoga Allah memberi saudara kebahagiaan yang maha tinggi yang ingin dicari oleh manusia; menjadikan saudara sebagai orang yang dipilihNya untuk naik ke darjah yang paling tinggi dan memenuhi pandangan saudara dengan cahaya hakikat, dan membuang dari batin saudara apa yang bukan hakiki. Saudara meminta saya menyampaikan rahsia-rahsia cahaya ketuhanan beserta dengan Qiyas-qiyas atau perumpaan yang ada di sebalik maksud-maksud lahir ayat al-Quran dan hadis yang tertentu terutama;

"Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya itu laksana sebuah Misykaat; di dalamnya ada lampu. Lampu itu di dalam sebuah kaca. Kaca itu laksana bintang yang gemerlapan. Dipasang dari sebatang kayu yang beroleh berkat, iaitu (minyak) pohon zaitun, tidak timur, dan tidak barat. Hampir sahaya minyak itu bernyala-nyala walaupun ia belum disentuh oleh api. Cahaya Atas Cahaya". (Surah An-Nur: 35)

"Tetapi bagi orang-orang kafir, perbuatan mereka itu adalah ibarat kegelapan yang bertimbun-timbun di laut yang sangat dalam yang berombak dan dilapisi lagi dengan ombak di atas awan gelap, Gelap di atas Gelap, sehingga jika seseorang menjulurkan tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu. Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak beri cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya".

Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan perbandingan atau Qiyas antara cahaya dan Misykaat(ceruk) , dan kaca, dan lampu, dan minyak, dan pokok itu?.

Dan perhatikan hadis ini;

"Allah mempunyai tujuh puluh ribu hijab (tabir) cahaya dan kelam. Sekiranya Ia membuka hijab itu, maka KeagunganNya pasti akan menghancurkan sesiapa yang mengenalinya dengan pandangan".

Demikianlah permintaan saudara. Tetapi dengan permintaan itu saudara telah bercita-cita hendak memanjat ke tempat yang tinggi yang sukar didaki. Tinggi sekali, hingga tidaklah tergamak oleh manusia biasa. Suadara telah mengetuk pintu yang terkunci yang hanya akan dibuka kepada mereka yang mengetahui dan mengenal dengan sebenarnya dan tetap keyakinannya. Tambahan pula, bukan setiap rahsia itu akan dibentang atau dipamirkan kerena;

"Hati-hati yang mulia itu menutup rahsia-rahsia seperti liang lahat".

atau sebagaimana kata orang Arif;

"Membuka rahsia Ketuhanan itu adalah seperti menafikan Tuhan".

atau sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW.;

"Ada satu ilmu seperti keadaan benda yang tersembunyi, tidak siapa yang tahu kecuali mereka yang tahu dan kenal kepada Allah".

Jika rahsia itu dikeluarkan, hanya orang-orang yang jahil sahaja akan menafikannya. Walau bagaimanapun, ramai orang-orang jahil itu, rahsia-rahsia itu mestilah dipelihara dan jangan dibiarkan dinodai oleh orang-orang yang berdusta.

Tetapi saya percaya, hati saudara telah dibuka oleh cahaya itu dan kesedaran saudara telah bersih dari gelap kejahilan. Oleh itu, saya tidak teragak-agak membawa saudara menuju hakikat yang mulia dan suci itu kerana kesalahan menyembunyikan ilmu dari orang-orang yang menghendakinya adalah sama seperti kesalahan mengeluarkan ilmu kepada orang-orang yang mensia-siakannya, seperti kata penyair;

"Orang yang memberi ilmu kepada si bodoh akan hilanglah ilmu itu; orang yang yang manahan ilmu dari orang yang memerlukannya, adalah membuat dosa'.

Saudara hendaklah berpuas hati dengan penerangan yang ringkas berkenaan perkara ini. Jika hendak diceritakan sepenuhnya, maka terpaksalah dihuraikan pokok-pokok dan ranting cabangnya. Untuk itu, pada masa ini saya tidak mempunyai cukup masa dan fikiran serta daya upaya saya pun tidak bebas untuk itu. Kunci kepada semua hati adalah di tangan Allah. Dia membuka hati itu apabila dikehendakiNya menurut kehendakNya dan dengan apa sahaja yang dikehendakiNya. Pada masa ini, cukuplah dibukakan kepada saudara tiga bab atau bahagian. Yang pertama adalah seperti berikut.

Bab Pertama

"Cahaya" dan berbagai cahaya:
Kajian Awal




1."Cahaya"sebagai cahaya biasa: sebagai "mata"; sebagai "Aqal"



Cahaya hakiki (yang sebenar) ialah Allah. Lain daripada itu, nama "cahaya" adalah hanya perumpamaan sahaja dan tidak membawa maksud yang sebenar.

Untuk menerangkan perkara ini, saudara hendaklah tahu bahawa perkataan "cahaya" itu digunakan di tiga tempat pengertian.

Pertama, digunakan oleh kebanyakan orang.
Kedua, digunakan oleh sedikit orang dan;
Ketiga, digunakan oleh beberapa orang sahaja.

Kemudian saudara hendaklah tahu berbagai-bagai peringkat cahaya yang berkaitan dengan yang kedua dan ketiga dan darjah-darjah hakikat yang ada bersangkutan dengan peringkat-peringkat tersebut, agar dengan itu saudara dapat mengetahui, setelah peringkat-peringkat ini menjadi bertambah terang kepada saudara, bahawa Allah itulah cahaya paling tinggi dan terakhir. Selanjutnya apabila hakikat yang berkaitan dengan tiap-tiap peringkat itu telah ternampak, maka disedarilah bahawa Allah itu sahajalah yang hakiki, cahaya sebenarnya, dan yang lain tidak mempunyai cahaya apa-apa.

Pengertian Pertama

Sekarang mari kita bincangkan pengertian yang pertama. Di sini perkataan "cahaya" menunjukkan "fenomena" atau kejadian. Fenomena atau apa yang nampak ialah istilah relatif (bandingan dan berubah-ubah), kerana sesuatu itu ternampak kepada sesuatu yang lain dari dirinya, atau tersembunyi daripada sesuatu yang lain dari dirinya. Maka dengan itu, nampak atau tidak nampak adalah relatif sahaja. Selanjutnya pula, nampak dan tidak nampak itu adalah relatif (bandingan) kepada kebolehan memandang (Perceptive faculties). Pada kebanyakan orang kebolehan memandang yang paling kuat dan terang ialah deria-deria (senses). Satu daripada deria-deria itu ialah deria lihat atau penglihatan mata. Benda-benda ini pula dari segi deria lihat terbahagi kepada jenis-jenis berikut;

1. Tanda-tanda yang dengan sendirinya tidak boleh kelihatan, seperti benda-benda atau badan yang kelam (gelap).

2. Tanda-tanda yang dengan sendirinya boleh kelihatan, tetapi tidak boleh membuat benda-benda lain kelihatan, seperti bintang-bintang, api yang sebelum menyala.

3. Tanda-tanda yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan juga membuat benda-benda lain boleh kelihatan, seperti bulan, matahari, atau lampu dan api yang menyala.

Nama cahaya ini diberi kepada golongan jenis yang mombor tiga(3) di atas itu. Kadang-kadang kepada apa yang terpancar dari benda-benada yang bersinar ini dan pancaran itu terjatuh atau tertumpu kepada bahagian luar benda-benda yang kelam (tidak lut sinar) iaitu apabila kita katakan "bumi diterangi" ke dinding atau ke pakaian dan kadang-kadang kepada benda-benda yang bersinar itu sendiri kerana benda-benda itu bersinar dengan sendirinya.

Kesimpulannya, cahaya ialah perkataan yang digunakan kepada apa yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan membuat yang lain kelihatan, seperti matahari. Inilah takrif (definisi) cahaya dan hakikat berkenaan cahaya menurut pengertian yang pertama itu.

Pengertian Yang Kedua

Kita telah lihat sekarang bahawa hakikat cahaya itu ialah apa yang nampak kelihatan oleh orang yang melihat; dan penglihatan itu; terkadang kepada wujudnya dua perkara iaitu;

  • 1. cahaya.
  • 2. mata yang melihat.

kerana meskipun cahaya itu adalah apa yang nampak dan disebabkan supaya nampak, namun ia tidak nampak atau disebabkan supaya nampak kepada orang-orang buta.

Oleh yang demikian, ruh (safiriah) si pelihat adalah sama penting dengan cahaya yang boleh dilihat itu. Ruh itu memainkan peranan penting dalam penglihatan bahkan ia lebih penting kerana ruh si pelihat itulah yang mengerti dan melalui ruh itulah fahaman atau pengertian terjadi atau terjelma. Cahaya tidak ada pengertian dan tidak ada pengertian atau fahaman berlaku melaluinya. Tetapi hanya semata-mata apabila ia ada hadir sahaja.

Sebenarnya perkataan "cahaya" itu ialah cahaya yang melihat yang kita namakan "mata". Dengan demikian, manusia memakai perkataan "cahaya" itu kepada cahaya mata.

Orang yang kabur matanya, dikatakan "cahaya penglihatannya kabur". Orang yang lemah penglihatan dikatakan "cahaya pandangan matanya lemah". Orang yang buta dikatakan "cahayanya habis gelap"

Adalah dikatakan bahawa anak mata itu menumpukan "cahaya" pandangan dan memperkuatkannya. Bulu mata pula dijadikan Allah berwarna hitam dan dijadikan untuk memandu dua biji mata itu pula berpusing-pusing supaya menumpukan "cahayanya." Dikatakan juga mata putih itu menyelerakkan "cahaya mata" itu dan melimpahkannya, dan memandang lama kepada permukaan putih berkilau, atau lebih lagi memandang cahaya matahari akan menyilaukan "cahaya mata" itu dan mencacatkannya seperti mana permukaan yang lemah dicacatkan oleh permukaan yang kasar dan kuat.

Sekarang tahulah saudara bahawa ruh si pelihat itu digelar cahaya. Kenapa digelar demikian itu dan kenapa sewajarnya digelar demikian itu?. Inilah pengertian kedua yang diketahui oleh sedikit orang sahaja.

Pengertian Yang Ketiga.

Hendaklah saudara tahu selanjutnya iaitu cahaya penglihatan biasa itu mempunyai beberapa kekurangan atau kecacatan.

  • Ia melihat benda lain tetapi tidak melihat dirinya sendiri.
  • Ia juga tidak dapat melihat perkara yang sangat jauh atau yang sangat dekat.
  • Ia tidak dapat melihat perkara yang di belakang dinding.
  • Ia melihat yang diluar sahaja dan tidak nampak yang di dalam.
  • Ia melihat bahagian-bahagian sahaja bukan keseluruhan.
  • Ia melihat perkara yang terbatas atau terhad dan tidak nampak perkara yang tidak terbatas.
  • Dalam melihat itu pula, ia banyak membuat kesalahan, kerana apa yang sebenarnya besar, pada pandangannya nampak kecil, apa yang jauh nampak dekat, apa yang diam nampak bergerak, apa yang bergerak nampak diam.

Inilah tujuh kecacatan yang ada pada mata biasa itu.

Jika ada mata lain yang tidak mempunyai kecacatan atau kekurangan tersebut di atas, bukankah betul juga jika mata sedemikian itu diberi nama "Cahaya" juga?.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan