Sabtu, 20 Mac 2010

Manuskrip Dr Bagindo Muchtar - Pandang Kedalam - Bab 4

BAB EMPAT
KISAHKU

Bidukku yang tadinya belayar dengan tenang dan laju karam dihentam badi topan ( taufan ) sehingga terdampar ketepi pantai sampai menyebabkan kemudi patah. Semua orang didaratan menyalahkan aku. Aku belayar dengan bidukku mengharung lautan samudera dengan tujuan mencapai pulau cita cita yaitu BAHAGIA. Bahagia yang diidam idamkan oleh setiap manusia.

Dalam pelayaran itu sewaktu aku memutar haluan hendak menuju sesuatu tujuan yang tertentu yang aku anggap baik, maka sekonyong konyong dengan tidak aku sadari berembuslah badai taufan dengan amat dahsyatnya yang menyebabkan bidukku terhempas kekanan dan kekiri. Segala ikhtiarku, daya upayaku aku jalankan guna untuk bertahan menjaga supaya bidukku jangan karam.

Akhirnya setelah aku cuba bertahan berhari hari dan bermalam malam ( lima belas hari dan lima belas malam lamanya ) untuk menyelamatkan biduk itu, kesudahannya bidukku ketepi pantai dan tidak sampai tenggelam ditengah lautan. Daya tahanku boleh dikatakan hampir habis.

Kerana kalau sampai tenggelam ditengah lautan tentu semenjak waktu itu akan berakhirlah riwayat hidupku dan tidak ada satu manusia pun akan mengetahui kisahku ini. Kerana seluruh isi biduk itu akan ikut tenggelam dan termasuk aku sendiri.

Aku kehabisan tenaga. Bidukku terdampar dan disaat itu aku belum sedar betul. Dengan tidak usul periksa semua orang didaratan menyalahkan aku.

Aku berusaha dan mencuba menerangkan keadaan yang sebenarnya akan tetapi tidak satu orang pun waktu itu yang mahu mendengar keteranganku. Aku tidak mengharapkan belas kasihan dari orang orang itu, tidak…….. hanya aku ingin mengemukakan kebenaranku kepada mereka itu akan tetapi manusia manusia itu tidak mahu menerimanya.








Dan dari segi lain, angin badai taufan tersebut menyebabkan mulai berlakunya PERISTIWA GHAIB BAGI DIRIKU.

Aku terkatong katong seorang diri dan tiap tiap orang yang menemui aku atau yang aku temui memperlihatkan rasa curiga padaku.

Dan segala sesuatunya itu aku terima dengan segala kesabaran dan tawakkal. Curiga orang orang itu menjadi bahan bagiku untuk mengoreksi ( memperbetulkan ) diriku. Aku harus menyesuaikan batinku dengan zahirku. Dan beransur ansur mulai ada orang yang mempercayai aku dan sudah ada pula menaruh perhatian padaku.

Bidukku dikuasai oleh orang orang tertentu, bahkan sampai kepada kekayaanku yang tidak seberapa dikuasai orang juga. Pihak pihak yang tertentu tidak mahu mengerti dan tidak mahu tahu akan keadaanku waktu itu dan terang aku rasakan ialah kemerdekaanku dirampas oleh orang orang yang tertentu itu dengan tujuan tertentu pula.

Aku tidak berdaya kerana tidak ( ada ) satu orang pun yang memihak padaku. Kebenaranku dikalahkan oleh jumlah bilangan mereka yang banyak. Dan belakangan ternyata kemudi bidukku patah, patah tidak dapat disambung lagi sehingga aku kehilangan kemudi ( kesayanganku ) untuk selama – lamanya.

Aku mengatakan maka sampainya patah kemudi itu disebabkan keranakan yang menguasai bidukku itu setelah kemerdekaanku dirampas, kerana setahuku bidukku tidak sampai sebegitu jauh rosaknya, akan tetapi oleh kerana dari semula orang mengatakan aku yang menyebabkannya, maka kesalahan tetap dipikulkan kepundakku.

Aku tahu bidukku rosak. Dengan mati- matian sewaktu di tengah lautan aku pertahankan supaya jangan sampai tenggelam dan akhirnya dengan tidak berdaya aku sampai ketepi.








Hanya aku yang tahu bagaimana hebatnya taufan itu mengamuk siang dan malam dan hanya aku yang bertahan dan lantaran aku juga makanya biduk itu sampai ketepi pantai. Dan sekalian yang terjadi dibidukku adalah akibat
dari serangan gelombang dahsyat yang menghentam bidukku itu. Kemerdekaanku dirampas dan aku disingkirkan dengan paksa. Kesalahanku waktu itu ialah aku tidak tegas, aku waktu itu disaat lemah tidak berdaya.

Patahnya kemudi disebabkan tidak pandainya tukang memperbaikki biduk itu, lantaran tidak tahu hujung pangkalnya atau sebab musababnya. Dan akhirnya aku yang kehilangan, akulah yang menderita.

Kekuatanku dengan beransur mulai timbul, kesadaranku mulai datang dan keadaan itu tidak bolih aku biarkan begitu sahaja. Aku mulai bertindak mulai tegas dan segala hakku yang sengaja dirampas orang aku tuntut supaya dikembalikan. Dan akhirnya dengan kesadaran dan ketegasanku itu, walau tidak keseluruhannya kemerdekaanku mulai ku perdapat kembali dengan jalan mushawarah atau perdamaian.

Pengalaman dan penderitaanku ditaraf yang pertama ini menyebabkan aku mendapat kesimpulan bahawa memang Tuhan itu ada. Ini bukan bererti aku tidak percaya pada Tuhan sebelumnya.

Contoh contoh diantaranya aku pernah tidak makan sewajarnya akan tetapi ( aku ) tidak lapar, aku pernah dicari oleh sesaorang untuk ditembak lantaran dihasut orang, aku bertemu dengan orang itu akan tetapi aku tidak dilihatnya dan ada saja orang lain yang mempertahankan aku. Aku pernah dapat tahu apa yang akan terjadi pada sesaorang dan banyak pengalamanku yang lain lain yang menyebabkan aku mendapat kesimpulan yang seperti aku sebutkan diatas itu. Memang Tuhan Itu Ada.

Kemerdekaanku telah ku perdapat kembali dan aku ingin membuktikan kebenaranku kepada masyarakat, aku kembalikan ingatanku kepada seluruh peristiwa peristiwa yang telah menimpa aku sejak dari semulanya aku pelajari dengan saksama dan dengan peganganku memang Tuhan itu ada, aku merenung dan merenung untuk mengadukan untung perasaanku kepadaNya.





Aku insaf bahawa tidak ada seorang saksi pun akan aku ambil untuk mengemukakan kebenaranku akan tetapi aku yakin bahawa dibalik saksi yang nyata tidak ada itu ada saksi tidak nyata iaitu yang ghaib, malaikat malaikat yang telah ditentukan oleh Tuhan sebagai mata mata untuk mengamat- amati segala perbuatan kita manusia ini buruk dan baiknya.

Adalah aku waktu itu ibarat musafir dipadang pasir sedang kehausan memerlukan seteguk air untuk melepaskan dahaga dalam pengembaraan untuk mencari sesuatu aku ingin hendak mencarinya menemuinya yang menjadikan aku sentana ( ? ) diizinkannya aku menemuinya aku akan menangis dan menangis sejadi-jadinya untuk mengadukan penderitaanku yang rasanya tidak pada tempatnya itu.

Zahirku itu seolah-olah tidak bererti kerana dengan kepergiannya aku sangat berasa kekurangan dan kehilangan keseimbangan dan aku terkatong-katong dalam kehidupan aku sedari diriku aku melihat keluar hampa perasaanku kerana tidak ada rasanya erti hidup ( dunia ) bagiku. Aku melihat kedalam perasaanku dadaku penuh dengan daya rasa bermacam macam aku bertanya sendiri dan mendapat jawapan sendiri dan akhirnya aku temuilah diriku sendiri.

Tahulah aku sudah, bahawa peristiwa besar telah terjadi didiriku, cubaan besar telah terjadi didiriku, aku harus berkorban dan pengorbanan sedang berjalan dan perubahan besar sedang berkembang pula didiriku terutama dibatinku. Peristiwa ghaib sedang berlaku pula didiriku, padaku yang mungkin ada pula terjadi pada sesaorang atau beberapa orang yang hidup sebelumku. Segala sesuatu itu mesti ada waris mewarisi, patah tumbuh hilang berganti dan telah berlaku pula Qadar Tuhan atas diriku, aku telah lulus ujian dari ujian berat yang pertama berkat ketabahanku ( sendiri )

Penderitaanku lahir batin tidak sanggup aku melukiskannya sebagai pengorbananku, aku harus mengembara melakukan sesuatu perjalanan yang jauh sebagai imbangan dari perjalanan batinku yang jauh pula.

Jauh disana aku lihat ada cahaya. Diriku tertarik akan cahaya itu dan aku mendekatinya, aku perbaikki bidukku yang terdampar kemudi aku tukar





dengan yang baru dan aku mulai kembali mengharungi lautan luas untuk menuju cahaya yang terlihat olihku itu. Bahawa adalah yang aku lihat itu tidak ubah seumpama cahaya lampu mercu suar pada sebuah pulau yang sangat jauh ditengah lautan yang dapat kita lihat dari jauh, hilang hilang timbul atau hidup mati.

Aku belayar dengan kemudi baru menuju cahaya itu aku belayar dan belayar gelombang besar kecil harus kulalui, kadang kadang bercampur dengan badai taufan perjalananku berbelok belok akan tetapi akhirnya berkat kesungguhanku pulau idamanku tercapai juga.

Sering pula akau terdampar kekiri dan kekanan akan tetapi syukurlah tidak sampai bidukku pecah kerana tiap tiap pengalamanku aku ambil jadi pelajaran untuk melanjutkan perjalananku.

Dan begitulah setelah lebih kurang tujuh tahun lamanya aku belayar, aku mendarat dipulau cahaya itu. Aku takjub dan hairan cahaya yang aku lihat dari jauh hidup mati atau hilang timbul itu rupanya disana tidak pernah mati atau hilang hilang timbul, malahan hidup terus.

Aku berjalan selangkah demi selangkah sambil memperhatikan keadaan sekelilingku dan cahaya yang menjadi perhatianku itu aku selidikki dengan teliti dan tahulah aku sudah rahsianya, sebab sebabnya maka dia kelihatan hidup mati dari jauh dan rahsianya telah menjadi rahsiaku.

Aku berjalan terus sambil memperhatikan yang lain lain aku melihat sebuah rumah. Aku ingin mendekati rumah tersebut. Melihat dan memperhatikan akan segala yang aku lihat ( disitu ) anggapanku tentu ada penghuni dirumah itu. Aku ingin hendak menemui penghuni rumah itu, hendak meminta permisi ( izin ) memasukki perkarangannya. Aku mencari dan mencari, aku perhatikan sekeliling, namun yang aku cari tidak juga bertemu ( ditemui ). Aku memasuki perkarangannya dengan perlahan – lahan dan berhati - hati sambil mencari penghuninya. Aku naikki rumah itu kalau kalau ada dia didalam aku maju selangkah lagi, masuk dengan memberi salam akan tetapi tiada yang menjawab salamku.






Aku sudah berada disana, akan tetapi yang aku cari tidak ketemui. Aku buka pintu kamarnya, banyak yang aneh aneh aku lihat didalamnya, namun dia yang aku cari tidak juga aku temui.

Aku teruskan perjalananku kekamar yang lain, sampai seluruh kamar telah aku masukki dan banyak yang aku senangi yang terlihat olehku didalamnya dari muka aku terus kebelakang dan terus kebawah dan berjalan lagi sekelilingnya, namun dia yang aku cari tidak juga bertemu.

Aku bingung, aku hairan, orangnya tidak nampak, akan tetapi tanda tanda keadaannya banyak bertemu olehku, banyak yang aku ingini yang aku lihat dalam kamar kamar yang telah aku periksa itu akan tetapi aku tidak berani mengambilnya. Akhirnya aku duduk bermenung dibawah naungan cahaya tadi sambil menanti-nantikan kalau kalau penghuni datang.

Dalam kesunyian itu tiba tiba aku seolah-olah mendengar suara “ Hai insan yang sedang merenung, apa yang dinantikan lagi ? Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya DIA yang engkau cari itu sebenarnya TIDAK ADA, bagaimana DIA akan ada kerana DIA tidak berupa dan bertampan, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Kembalilah engkau ketempat tadi, kerana dengan izinnya juga engkau sampai, dan pergunakanlah kesempatan ini sebaik-baiknya. Bahawa DIA itu ADA dalam TIADA, ada dalam sebutan tidak ada dalam kenyataan. “

Aku tersentak dari lamunanku, aku sedar dan insaf dan dengantenang aku langkahkan kakiku kembali ketempat semula iaitu kerumah yang isinya yang telah kuketahui itu.

DIA ada tetpi tidak ada, DIA ada dalam tiada dan tidak dalam ada. Aku perhatikan segala sesuatunya yang kulihat dengan saksama dan tahulah aku sudah bahawa disanalah rupanya letak kunci dari segala kunci, pusat dari segala pusat. Dari sana titik permulaan dan kesana pula pengembalian segala sesuatunya.

Sungguh sangat syukurku kepdaNYA yang menjadikan aku. Banyak sudah rahsiaNYA yang aku ketahui dan aku mendapat tali pegangan.




Dengan tali pergantunganku itu aku kembali dari pengembaraanku dan rahsia rahsia yang telah aku ketahui itu akan kupergunakan sebagai amalanku.

Jalan kesana telah terbuka bagiku. Kesimpulanku sekarang DIMANA AKU BERADA DISANA ADA DIA. Dan aku akan mencari terus yang belum kuketahui, kerana aku yakin seyakin-yakinnya, kalau jalan kesana telah terbuka bagiku pasti sudah jalan jalan lain sudah terbuka pula. ( juga )

Keinginanku dan doaku semuga TUHAN yang aku sembah, yang menjadikan aku, memanjangkan umurku, memlihara kesihatanku dan memberi rezekiku, kerana hasratku sangat besar supaya manusia yang banyak ini akan mendapat pula seperti apa yang telah aku dapat dan terbuka pula jalan baginya, bagi yang mahu mencarinya. Kiranya ALLAH akan menerima segala amalanku.

Pusat dari segala pusat telah aku ketahui, kunci dari segala kunci telah aku punyai pula. Banyak sudah yang telah kuketahui rahsianya telah menjadi rahsiaku, ilmunya telah menjadi ilmuku dan satu persatu akan kucuba memecahkannya dengan anak kunci yang telah ada padaku.

DIA memerintah seluruh alam termasuk alamku sendiri. Perintahnya berjalan dengan sendirinya dengan Qudrat dan IradatNYA apa yang dikehendakkiNYA terjadi, kerana DIA Mahakuasa, Maha Besar & Maha Mengetahui. Segala-galanya diatur menurut KehendakNYA dan peraturanNYA itu berjalan dengan sendirinya.

Dimanakan batas antara aku dan DIA ? Setelah aku selidikki dengan saksama dengan ilmuNYA yang telah ada padaku tahulah aku bahawa dinding atau batas aku dengan DIA hanya zahirku atau lebih tepatlah aku katakan hanya bulu dan kulitku.

Akhirnya aku dapat tahu katakan AKU telah menemui DIRIku, rahsianya telah aku ketahui dan aku telah kembali dari sana dan dinding aku dengan DIA telah tembus.

Palembang
1hb Ogos 1962.

Jumaat, 19 Mac 2010

Dr Bagindo Muchtar - Pandang Kedalam Bab 1 hga 3

BAB SATU
KESIMPULAN DARI PERJALANANKU

Yang ada mencari yang tiada Menemui sesuatu yang harus mendapatkan perhatian dari kita sendiri. Mengikuti terus perkembangannya.

Terus mengadakan latihan sampai dapat berkembang terus, sampai dapat merasakan yang sesuatu itu telah memancar dari dalam badan sendiri.

Dengan sesuatu melakukan sesuatu untuk dapat mengetahui akan rahsia yang terkandung padanya.

Melakukan perjalanan dengan sesuatu dari tiada sampai kepada tidak ada.

Tempat tidak ada menyadarkan dan menyatakan badan diri guna untuk mengadakan pengakuan akan tiada Tuhan yang lain melainkan Allah dan Muhammad sebagai Rasullullah dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadat sekurang – kurangnya tiga kali berulang – ulang.

Sekali berjalan dari tidak ada kepada sampai kepada ada. Kewibawaan kita keluar selalu sebagai seorang manusia dengan sesuatu.

Demikianlah adanya.

AKU
BAGINDA MUCHTAR
( SI SEPULUH )












BAB DUA
KATA BERMULA

Anak anakku sekalian,

1 Ketahuilah olehmu, resapkan kedadamu bahawa dibumi Tuhan engkau berpijak dan dibawah lindungan yang Maha Besar engkau berdiri. Adalah engkau hidup dan dihidupkan. Dari itu sembahlah DIA ALLAH Yang Maha Esa dan pohonkanlah segala – galanya kepadaNya,

2 Engkau menjadi orang melalui ibu bapamu. Kalau tidak ada ibu bapamu tentu engkau tak akan menjadi manusia kerana ibu bapamu itu manusia. Dari itu sujudlah dan hormatilah dia sedalam dalamnya dan jangan durhaka kepadanya ( mereka ).

3 Engkau dilahirkan melalui ibumu dan jadilah engkau anak kandungnya kerana dia yang mengandung engkau. Seorang anak tak akan jadi kalau tak ada bapamu.

Dan dibidang Ilmu Pengetahuanku adalah engkau anakku pula dan adalah aku gurumu, walaupun engkau memanggilkan bapa padaku.


BAB TIGA
BAHAGIA

Sebagai seorang manusia engkau dilahirkan oleh ibumu. Kelahiranmu mendatangkan Bahagia pada perasaan ibu bapamu dan kaum familimu. Dan dimana letaknya Bahagiamu itu ? Engkau membawa bahagia dan bahagia itu ada padamu, tetapi dimana letaknya ? Letaknya ialah padamu yaitu ditempatnya. Mungkin letaknya diluarmu ? Tidak mungkin kerana engkau yang membawanya.

Bahagiaku letaknya padaku dan bahagiamu letaknya padamu. Aku mangandung bahagia dan engkau ( juga ) mengandung bahagia. Untuk merasakan dan mendapat ( kan ) itu bahagia tentu engkau harus melahirkan kandunganmu itu.

Engkau tak tahu. Dalam hal ini maka aku yang engkau anggap gurumu yang menolong melahirkan kandungan mu itu. Dan engkau akan merasa bahagia sepanjang masa, kalau engkau tahu dan mengerti dan dapat memahami bahagiamu yang telah dilahirkan itu.

Kesadaran dan pengertianmu yang mendalam dapat menilai dan menghargai gurumu sebagai pembimbingmu memecahkan Rahsia DIRImu sendiri, menuju hidup sepanjang masa menjelang hidup yang kekal abadi.

Pelajarilah segala sesuatunya dengan sesuatu yang ADA padamu dan jagalah hadapmu terhadap ibubapamu, sesudah itu guru gurumu. Dan istimewa terhadap Tuhan yang mengadakan segala yang ada, yang menjadikan segala yang dijadikan, yang Mengetahui yang tidak diketahui oleh apa dan siapa saja, sembahlah Dia dan carilah Rahsianya yang terkandung didalam dirimu, untuk dapat mengenalnya dengan erti yang sebenarnya.

Rabbigefer warham wa anta khairurrahimin……………………………………………………….
( Wa ) Hai Tuhanku ampunilah kesalahanku, kasihanilah aku, Engkau ( lah ) yang sebaik-baik Yang Mengasihi….


Palembang
27hb Nov 1965
Bagindo Muchtar.

Rabu, 17 Mac 2010

Dr Bagindo Muchtar - Pandang Kedalam -Manuskrip Yang Tidak Diterbitkan

PRAKATA SATU
Al-Fakir Abdillah Abdullah AlGemasi

Bismillah hir rahmanirrahim

Dengan IradatNya jua saya digerakkanNya untuk menulis semula buku karangan Dr Bagindo Muchtar ini. Secara jujur dinyatakan bahawa ianya dilakukan tanpa mendapat keizinan dari Dr Bagindo Muchtar kerana saya tidak pernah menemuinya dan tidak tahu bagaimana untuk berhubung dengannya. Saya tidak pasti sama ada penulis asal buku ini masih hidup atau telah kembali ke Rahmatullah. ( bukunya merupakan MANUSKRIP yang mengikut catatannya siap ditaip / tulis pada 27hb November 1965 – 41 tahun yang lalu ) Namun ianya dilakukan juga kerana tuntutan mencari ilmu. Saya yakin Dr Bagindo Muchtar pasti mengizinkannya.

Ianya juga merupakan permintaan saudara dan sahabat saya Sdra Anuar Yasin dari Felda Jelai 3, Gemas. Saya memanggilnya sebagai Syeikh Nuar. Ini adalah kerana salinan buku berkenaan yang ada pada saya ( dan salinan yang saya hadiahkan kepada beliau ) merupakan salinan fotokopi yang tidak jelas dan sukar untuk dibaca.

Pada tahun 1980 saya bertugas sebagai Pengarah Bekalan di Jabatan Stor Keretapi Tanah Melayu. Seorang kakitangan saya ( yang saya anggap sebagai abang kerana jauh lebih berusia daripada saya ) bernama Amar Mansor telah menghadiahkan buku karangan Dr Bagindo Muchtar ini kepada saya. ( Sdra Amar pernah menjadi JURULATIH KANAN SILAT NASRUL HAQ YANG DITERAJUI OLEH PROF DR MUCHTAR LINTANG DARI INDONESIA )

Ketika itu saya baru berumur 29 tahun dan langsung tidak berminat kepada isi kandungan buku tersebut. Namun saya sangat menyayangi buku. Saya telah menyimpan buku itu dan telah membacanya banyak kali juga tetapi tidak dapat memahaminya seperti yang sepatutnya pada ketika itu.

Pada tahun 1995 saya telah mula menulis buku karangan saya sendiri yang saya namakan sebagai Pengantar Ilmu Hakikat Yang Diwariskan. Sebagai bab penutup saya sangat berhajat untuk menulis mengenai pendapat




pendapat sama ada sesaorang itu boleh menemui Dirinya ketika ianya masih hidup didunia ini.

Ini adalah kerana kesemua guru guru saya menegaskan bahawa satu ketika nanti sesaorang salik itu akan dapat menemui Dirinya sendiri. Malangnya ketika saya bertanya kepada guru guru saya itu sama ada beliau sendiri telah menemui Dirinya, jawapan yang saya terima secara langsung dan tidak langsung tidak memuaskan hati saya. Ini pada hemat saya adalah kerana guru guru saya itu sama-ada masih belum lagi menemui Dirinya atau barangkali ianya merupakan satu SIRR atau Rahsia yang tidak boleh diberitahu kepada sesiapapun atau barangkali ianya ( perkara boleh menemui Diri itu ) merupakan cakap cakap sahaja bukan satu perkara yang benar. Yang demikian saya sendiri masih belum menemui Diri saya itu kerana saya tidak pernah diberitahu bagaimanakah cara dan amalannya.

Saya telah mencari buku Dr Bagindo Muchtar ini tetapi adalah jelas bahawa ianya sudah tiada dalam simpanan saya lagi. Tidak mungkin saya akan dapat menemuinya kembali melainkan atas Kehendak Allah jua. Saya menadah tangan berdoa kepada Allah dan meminta Allah memberikan petunjukNya untuk menunjukkan bahawa Ilmu Hakikat / Ilmu Mengenal Diri dan Tauhid Hakikat itu merupakan ilmu yang benar bukan ilmu yang sesat seperti mana dikatakan oleh ramai ulama Syariat. Saya juga memohon agar Allah memulangkan semula buku berkenaan.

Selepas tiga hari saya telah didatangi oleh seorang anak muda dari kampong saya juga. Anak muda ini telah datang kerumah saya selama tiga malam berturut – turut namun pulang kerumahnya kerana setiap kali dia datang saya ada tetamu. Jelas sekali anak muda ini ingin berbicara atau berbincang dengan saya secara bersaorangan. Anak muda ini hanya dapat menemui saya secara bersaorangan pada malam keempat. Ketika mengetahui saya tiada tetamu beliau terus memegang kaki saya sambil menangis teresak esak meminta saya mengampunkannya. Ini adalah kerana ( menurutnya ) dia telah mengambil buku saya tanpa pengetahuan dan izin saya dan setelah membacanya terus mengamalkan ajaran ajaran yang terdapat didalam buku tersebut. Anak muda ini menceritakan kepada saya pengalaman pengalaman aneh dan menakjubkan yang dinikmatinya selama lima tahun setelah mengamalkan amalan amalan yang diyorkan oleh buku





tersebut. Katanya dia telah menemui Dirinya sendiri dan menyerahkan urusan kehidupannya selama lima tahun kepada Dirinya itu.

Beliaulah orang pertama yang mengaku kepada saya bahawa Diri itu boleh ditemui jika kita tahu JALANNYA. Anak muda ini menjadi guru saya yang entah keberapa.

Menurutnya sejak lima hari yang lalu beliau berasa amat gelisah dan hatinya diruntun runtun untuk memulangkan harta yang bukan miliknya. Harta yang dirujuknya itu ialah buku Dr Bagindo Muchtar milik saya ( yang saya cari cari itu ) tetapi buku yang dikembalikannya kepada saya bukanlah buku yang asal tetapi merupakan salinan fotocopy. Yang asal telah diambil oleh sesaorang katanya.

Anak muda ini juga menyatakan bahawa MURTIARANYA telah hilang. Sudah tiga tahun katanya dia kehilangan Dirinya ….. tidak lagi dapat menemui Diri itu seperti yang dialaminya selama lima tahun. Pada sangkaannya sebabnya ialah kesilapan mengambil buku berkenaan tanpa izin pemilik dan mengamalkan ilmu tanpa mendapat ijazah.

Sebab yang sebenar saya sendiri pun tidak tahu. Ada juga kemungkinan bahawa perkara yang SIRR telah diceritakan kepada orang lain khususnya orang yang bukan ahli.

Namun begitu Keagungan Allah adalah amat jelas dan nyata. Peristiwa yang saya ceritakan tadi membolehkan anda membaca buku Dr Bagindo Muchtar ini. Mudahan mudahan anda juga akan menikmati nikmat sepertimana yang telah dinikmati oleh anak muda yang saya ceritakan diatas. Namun segala-galanya adalah KetentuanNya jua.

Saya tidak bercadang untuk menceritakan didalam Prakata ini akan pengalaman pengalaman luarbiasa oleh anak muda tersebut. Saya juga tidak dapat menyebutkan namanya kerana tidak dapat keizinannya. Yang dapat saya katakan ialah adalah satu perkara yang benar bahawa sesaorang salik itu dapat malah amat perlu menemui Dirinya. Ini telah disebutkan oleh Sultanul Aulia’ Syeikh Abdul Qadir Jailani didalam







kitabnya dan juga telah dinyatakan oleh Syeikh Hamzah Al – Fansuri didalam karangan karangannya.

NOTA

Tajuk Asal Buku Dr Bagindo Muchtar ialah MENGENAL DIRI

Penyalin mengubah tajuknya kepada MENEMUI DIRI DENGAN MEMANDANG KEDALAM kerana itulah yang dibincangkan sebenarnya oleh Dr Bagindo Muchtar. Fatihah Untuk Dr Bagindo Muchtar. Penyalin ( dan sewajarlah semua pembaca ) sangat berterimakasih kepada beliau atas isi kandungan buku ini. Isi kandungannya sangat MIRIP kepada PATRAP yang diterajui oleh bapak Slamet dan Bapak Abu Sangkan – Dzikirullah.com . Terimakasih dan Fatihah juga untuk abang penyalin Sdra Amar Mansur.

Penyalin tidak pasti sama-ada Buku MENGENAL DIRI karangan DR BAGINDO MUCHTAR ini telah pernah diterbitkan. Salinan yang ada pada penyalin merupakan Manuskrip yang ditaip. Mengikut catatan manuskrip, Dr Bagindo Muchtar mula menaipnya pada 1hb ogos 1962 dan siap pada 27hb November 1965 di Palembang, Indonesia.

Pada hemat penyalin Dr Bagindo Muchtar ialah Prof Dr Muchtar Lintang Mahaguru Silat NASRUL HAQ. Ini adalah berdasarkan pengakuan Sdra Amar Mansur bahawa manuskrip ini dihadiahkan kepadanya oleh Prof Muchtar Lintang sendiri. Ketika itu sdra Amar merupakan jurulatih kanan Nasrul Haq, di Kuala Lumpur. Amar Mansur pula menghadiahkan satu salinan kepada penyalin pada tahun 1980 sebagai Hadiah Harijadi.



***********************




PRAKATA DUA
Al-Fakir Abdillah Abdullah Al-Gemasi

Saudara pembaca,

Dikalangan pengikut Ilmu Hakikat Diri Yang Sebenarnya Diri itu merupakan perkara immaterial yang bersifat Rabbaniah atau bersifat Ketuhanan. Yang demikian ianya juga dikatakan mempunyai Sifat Sifat 20 Allah SWT. Nyata dengan jelas akan wujudnya 7 ( tujuh ) Sifat Sifat MaaniNya ( Hayat / Basar / Kalam / Kudrat / Ilmu / Sama’ & Iradat ) pada Diri itu yang seterusnya melihatkan kesan kesannya melalui anggota anggota badan manusia itu.

Yang menjadi persoalan ialah adakah Diri itu juga memiliki Sifat Sifat MAHA atau SIFAT SIFAT MAKNUYAH Allah SWT ? ( Hayyun / Basirun / Mutakallimun / Qadirun / Alimun / Samiun & Muridun )

Jika dikatakan ada kenapakah manusia itu mempunyai pelbagai kelemahan dan serba kekurangan ?, sedangkan yang dikatakan MAKNUYAH itu ialah HAYYUN / MAHA HIDUP, QADIRUN / MAHA BERKUASA, ALIMUN / MAHA TAHU, BASIRUN / MAHA MELIHAT, SAMIUN / MAHA MENDENGAR, MUTAKALLIMUN / MAHA BERKATA-KATA dan MURIDUN / MAHA BERKEHENDAK ?. Pernahkah anda menemui manusia yang memilikki Sifat Sifat sebegini ?

Jika dikatakan Diri itu hanya memilikki Sifat Sifat Maani sahaja, maka tidaklah boleh dikatakan bahawa Diri itu bersifat Ketuhanan ! Hanya IlmuNya sahaja yang dapat memberi penjelasan kepada sesaorang salik itu kerana pada hakikatnya Tiada Yang Berilmu Hanya Dia.

Saudara pembaca,

Marilah kita alihkan tumpuan dan perhatian kita buat seketika kepada perkara yang mungkin kita anggap sebagai remeh temeh ( yang jarang sekali kita fikirkan secara mendalam rahsianya ) kerana kita terlalu biasa dengannya oleh kerana kita sentiasa bersamanya, setiap detik dan ketika barangkali.



Saya ingin menarik perhatian saudara tentang dua perkara iaitu mengenai tenaga letrik yang mengalir dirumah kita, dipejabat kita di sekitar kita dan juga tentang jalan jalan atau laluan laluan yang selalu kita gunakan tanpa kita memikirkan hakikat yang kita sebenarnya menumpang jalan jalan yang bukan milik kita itu .

Mengenai tenaga letrik ianya adalah abstrak kerana sangat susah bagi kita menjelaskan apakah ianya sebenarnya melainkan bercerita mengenai kesan kesannya. Jurutera letrik mengukurnya dengan mengadakan kata kata ukuran seperti watt, voltage dan sebagainya.

Jika dikatakan ianya mati, letrik itu menghidupkan pelbagai peralatan dan membahagiakan kehidupan kita pula. Jika kita katakan ianya hanya benda yang mati ianya bergerak dan mengalir dari janakuasa kerumah kita melalui jalannya sendiri. Jalannya ialah dawai tembaga ( copper ). Jika kita gantikan dengan tali plastik umpamanya ia enggan berjalan ( mengalir ) Ianya tetap mahu kepada jalannya sendiri. Tidak mahu ia menumpang jalan yang bukan jalannya ( jalan orang / benda lain )

Jika kita katakan ianya hidup kita tidak pernah nampak akan rupanya melainkan lambang lambang yang diadakan oleh jurutera. Jadi ianya seperti sesuatu yang ada ZAT seperti air juga yang hidup dan menghidupkan.

Saudara pembaca,

Jalan tenaga letrik ini kita sebut sebagai dawai letrik. Jurutera membuatnya mengikut pelbagai ukuran ( saiz ) sesuai dengan kekuatan atau satu satu kegunaan itu. Jika dawai dawai yang merupakan jalan jalan tenaga letrik ini berbalut mengikut piawaian yang ditentukan maka tenaga atau kekuatannya telah dihadkan kepada kegunaan yang ditujukan itu. Umpamanya ia akan menyalakan lampu tanpa membakar lampu tersebut, memusingkan kipas tanpa merosakkannya atau menghidupkan peti televisyen tanpa memudaratkan kita sebagai pengguna atau peti televisyen itu sebagai alat.





Jadi bolehlah kita katakan bahawa tenaga letrik dalam dawai yang berbalut itu bukanlah kekuatan sebenar tenaga letrik itu. Ini adalah kerana jika balutan itu dibuang dan yang tinggal hanya dawai tembaga maka kekuatan sebenar tenaga letrik itu boleh membunuh manusia dan merosakkan segala peralatan.

Yang demikian balutan itulah sebenarnya yang membuatkan kekuatan yang MAHA itu terkawal sesuai dengan apa kegunaan yang diinginkan.

Mengenai jalan pula, jalan keretapi umpamanya kita sebut sebagai landasan keretapi. Jika kita naik keretapi kita disebut sebagai penumpang keretapi. Jika kita naik bas pula kita disebut sebagai penumpang bas. Ini adalah kerana landasan itu bukan milik kita tetapi milik keretapi. Kita hanya tumpang menggunakan sahaja.

Apapun, jika tidak ada jalan maka kita akan menjadi statik kerana tidak dapat kemana mana pun. Yang demikian jalan itu adalah penting malah sangat penting.

Sesuatu perkara itu mempunyai jalan jalan masing masing, atau jalan jalannya sendiri. Untuk memperolehi sesuatu kita hendaklah tahu akan jalannya. Jika kita tidak tahu jalan, maka kita tidak akan kemana malah boleh sesat pula.

Oleh kerana selama ini kita hanya menumpang jalan, jalan yang bukan milik DIRI kita maka sentiasalah kita menjadi penumpang. Maka adalah amat perlu kita membina atau menemui jalan kita sendiri.

Yang sebenarnya tidaklah perlu kita membinanya kerana jalan itu telahpun disiapkan untuk kita. Cuma kita tidak menyedari akan wujudnya. Lantaran itu ianya jalan yang tidak pernah kita gunakan kerana kita sememangnya jahil tentang kewujudannya.









Saudara pembaca,

Marilah kita kembali kepada perkara yang serius semula ( bukan perkara remeh lagi )

Saya ingin menarik perhatian saudara kepada sebuah kitab yang dikarang oleh Qutubul Aulia’ Syeikh Abdul Qadir Jailani yang berjudul SIRRUR ASRAR. Jika anda belum membacanya maka carilah buku ini dan bacalah berulang ulang kali.

Didalam kitab berkenaan Syeikh kita menjelaskan bahawa Ruh Al – Qudsi ( yang juga dirujuk sebagai Diri Yang Sebenarnya oleh ulama lain ) dan umumnya dirujuk sebagai ruh atau nyawa kita itu dinamakan oleh beliau sebagai TIFLUL MAANI iaitu sesuatu yang immaterial atau bukan benda yang terlalu rahsia yang bersifat Rabbaniah atau Ketuhanan yang membuatkan kita hidup dan menjadi manusia atau insan yang sempurna.

Menurut beliau, Allah SWT telah mambalut Tiflul Maani ini dengan pelbagai balutan cahaya kerana jika ianya tidak dibalut maka kekuatanNya akan membakar jasad atau tubuh atau badan yang menjadi sarungnya didunia ini.

Seperti tenaga letrik yang berjalan didawai tembaga terhad atau dihadkan kekuatannya oleh lapisan lapisan pembalut plastik sesuai dengan kegunaan tenaga itu, begitu jugalah kekuatan TIFLUL MAANI itu dihadkan kekuatannya sesuai dengan kehidupan manusia itu dimuka bumi ini.

Maka yang kelihatan ketika kewujudan balutan balutan itu hanyalah kekuatan yang terhad yang disesuaikan hingga yang terlihat hanyalah apa yang kita sebut sebagai kesan kesan SIFAT SIFAT MAANI ALLAH SWT. Sifat Sifat MAHA iaitu Sifat MAKNUYAH itu seperti ghaib. Kesan wujudnya juga hampir tidak kelihatan.









Yang demikian bolehlah kita katakan bahawa Sifat Sifat Maknuyah Allah SWT sememang wujud pada Diri Sebenar manusia itu. Ianya hanya akan NYATA apabila balutan balutannya terhapus atau dihapuskan.

Saudara pembaca,

Bagi sesaorang yang bertauhidkan kepada Keesaan Allah SWT dan betul betul meyakini akan kebenaran Ilmu Hakikat, wajiblah ianya beriman bahawa tiada apa yang wujud dialam maya pada ini melainkan Zat Alllah semata –mata.

Wajib juga ia percaya bahawa Allah meliputi dirinya dan pengliputan itu menjadikan dirinya sebagai manusia pada hakikatnya tidak wujud.

Dia juga yakin bahawa Ruh atau Nyawa atau Hati atau Qalbunya merupakan Ruh Al – Qudsi Allah yang memilikki segala Sifat Sifat Allah termasuk Sifat Sifat 20 yang wajib diketahuinya berkaitan Allah SWT.

Yang demikian apa yang harus ditumpukan oleh sesaorang salik itu, setelah meyakini bahawa Diri Yang Sebenarnya Diri itu memilikki Sifat Sifat Maknuyah Allah SWT ialah mencari JALAN untuk menemuinya dengan pemecahan pemecahan balutan balutan itu.

Usaha usaha pemecahan balutan balutan cahaya yang membalut Ruh Al – Qudsi atau bagi Syeikh Abdul Qadir TIFLUL MAANI boleh dicapai dengan beberapa cara mengikut pegangan dan fahaman sesaorang itu.

Bagi orang orang yang hanya meyakini Ilmu Syariat maka caranya ialah mentaati Alllah SWT sebaik mungkin dengan menjauhi sift sifat terkeji dan melakukan sebanyak mungkin ibadah.

Bagi ahli ahli Tarikat pula maka sewajarnyalah ia menaikkan tahap zikirnya dengan bimbingan mursyid hingga mencapai Makrifatullah.







Bagi Ahli Tauhid iaitu Ahli Hakikat tumpuan ialah kepada Mengesakan Allah dan memusnahkan Keakuannya …..

Dan bagi Dr Bagindo Muchtar Diri Yang Sebenarnya Diri itu boleh ditemui kalau sekiranya sesaorang itu mengetahui JALAN DIRI itu sendiri. Perkara inilah yang dihuraikan oleh Dr Bagindo Muchtar didalam bukunya yang oleh penyalin dijudulkan semula sebagai PANDUAN MENEMUI DIRI DENGAN MEMANDANG KEDALAM.

MATLAMAT TERAKHIR – THE ULTIMATE OBJECTIVES.

Saudara Pembaca !

Awal Awal Agama Ialah Mengenal Allah . Apa pula Akhir Akhir Agama itu ? Sewajarnyalah Akhir Agama Itu Menemui Allah.

Saya tidak pasti sama-ada ada Hadith atau Ayat Ayat Al-Quran yang menegaskan bahawa Akhir Akhir Agama Itu Ialah Menemui Allah setelah Kita Dapat Mengenalnya.

Apapun terdapat banyak Ayat Ayat Al-Quran yang menjelaskan bahawa sesaorang itu dapat BERTEMU dengan Allah mengikut cara cara yang ditentukan oleh Allah sendiri dan caranya yang jelas ialah dengan PANDANGAN BATIN dan dengan MENGENAL DIRI SENDIRI.

Yang demikian Mengenal Diri itu sewajarnyalah Awalnya dan MENEMUI DIRI itu adalah akhirnya.

Jadi kita katakan bahawa tiadalah gunanya ILMU, jika kita tidak dapat menggunakannya untuk MENGENAL DIRI. Dan boleh juga kita katakan bahawa adalah sia sia kita dapat kita Mengenal Diri kita jika kita tidak dapat MENEMUINYA. Dan adalah perkara yang SANGAT MALANG dan SANGAT RUGI jika kita tidak dapat MENEMUI ALLAH setelah kita berjaya Menemui Diri kita.









Barangkali inilah yang sewajarnya menjadi MATLAMAT AKHIR atau THE ULTIMATE OBJECTIVES kita menuntut Ilmu apatah lagi ILMU MENGENAL DIRI .

Iaitu kita wajib belajar Mengenal Diri agar Diri itu dapat kita TEMUI dan akhirnya sebagai SifatNya Diri itu sebagai bahagian Yang Ghaib kita dapat pula DIRI itu, membawa kita MENEMUI ALLAH TUHAN kita YANG MAHA GHAIB itu.

Barangkali inilah maksud Hadith : Wa Man Arafa Rabbahu Fasadal Jasad – Sesiapa Yang Mengenal Tuhannya maka binasalah JasadNya.

Pokoknya ialah JASAD atau BADAN itu wajarlah diBINASAKAN dahulu agar YANG BATIN itu WUJUD ESA DENGAN ALLAH, dapat berkuasa sepenuhnya dalam ertikata menguasai segala-galanya mengikut KETENTUAN TUHANNYA.

Soalnya ialah bagaimanakah caranya kita dapat mengenal dan menemui DIRI kita itu ? Maka sewjarnyalah kita menghalusi maksud Hadith Baginda Nabi Muhammad : BERTAFAKUR SESAAT ITU LEBIH BAIK DARI BERIBADAH SELAMA 70 TAHUN. Bagaimanakah caranya kita bertafakkur itu ?

Cara Bertaffkur dan CARA UNTUK MENEMUI DIRI dan TUHAN inilah yang ditumpukan oleh Dr Bagindo Muchtar dalam buku yang anda akan baca ini. Maka wajarlah anda BERSYUKUR kepada Allah dan berterima-kasih kepada Dr Bagindo Muchtar kerana selain buku ini saya belum pernah terjumpa mana mana buku dan kitab yang menunjukkan cara caranya MENEMUI DIRI sejelas buku Dr Bagindo Muchtar ini.









Semuga anda sebagai pembaca akan menemui Diri anda sendiri dan menikmati erti kehidupan sebenar melalui cara cara Dr Bagindo Muchtar, kerana bagi Dr Bagindo Muchtar cara cara kehidupan yang kita jalani selama ini adalah cara cara kehidupan yang salah dan merugikan. Kita perlu mencari jalan CARA KEHIDUPAN BARU dengan menyerahkan segala urusan kehidupan kepada DIRI yang telah ditemui itu.

Semuga Allah memeberi Taufik dan HidayahNya kepada kita semua. Bersyukur kita kepada Allah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr Bagindo Muchtar ( yang pada pendapat penyalin barangkali dia jugalah yang menamakan dirinya Professor Dr Muchtar Lintang pengasas silat NASRUL HAQ. ) Terima ksih kita juga kepada anak muda yang telah memulangkan semula buku Dr Bagindo Muchtar ini kepada penyalin.

Walllahhualam, salam takzim dan selamat membaca.

Ikhlas dari,


Al – Fakir Abdillah Abdullah Al – Gemasi
Kampong Londah, Gemas Negeri Sembilan, Malaysia.
09 Julai 2006.